MENGANGKAT tema floral sempena musim bunga dan panas.
MENGANGKAT tema floral sempena musim bunga dan panas.
Yusliza Yakimir Abd Talib

DALAM beberapa tahun kebelakangan ini, sana sini orang menggayakan padanan polos yang menjadi trend dan dirasakan lebih bergaya. Jemu dengan helaian polos yang sudah digayakan sejak beberapa tahun, kali ini apa kata anda mengubah selera mencuba padanan bercorak yang tidak kurang cantiknya.

Apatah lagi jika corak khususnya lakaran flora indah menghiasi pakaian. Jika bijak memilih, anda boleh tampil menyerlah, manis, ceria dan tampil lebih muda.

Tambahan pula, konsep suai padan lebih menjimatkan dan tidak perlu membeli banyak kerana setiap baju, skirt atau seluar boleh dipadankan dengan pakaian lain.

Konsep ini yang menjadi keistimewaan butik Nuraz Collection yang menyediakan pakaian boleh disuai padan selain koleksi baju tradisional seperti kurung.

Mengetengahkan koleksi busana berkonsepkan kasual, ia menampilkan pelbagai rekaan dengan gaya sederhana, elegan dan sopan.

Pengasasnya, Nurul Asmak Mat Khairul Din berkata, mengambil inspirasi musim panas dan bunga, pastinya tema floral diberi fokus utama.

MANIS dipandang dan menutup aurat.
MANIS dipandang dan menutup aurat.

Material yang digunakan pula katanya, perlulah bersesuaian dengan suhu di negara ini dan negara serantau. Oleh itu fabrik selesa dan tidak panas dalam koleksi butik itu untuk memastikan keselesaan serta kepuasan pelanggan.

“Apabila memperkatakan berkenaan fesyen Muslimah, pasti setiap orang menggambarkan jubah dan baju kurung.

“Hakikatnya, wanita boleh bergaya dengan pelbagai fesyen terkini asalkan penampilan itu tidak keterlaluan.

“Saya juga mahu mencipta kelainan iaitu berkonsepkan busana kasual. Sama ada berhijab atau tidak, potongan yang direka dipastikan supaya longgar dan tidak melekap,” katanya.

Untuk koleksi kali ini katanya, dia memilih material sifon berlapik penuh yang menjadi kesukaan wanita masa kini.

Selain itu katanya, corak bunga kecil selain warna lembut bukan saja menampakkan ilusi langsing buat pemakai malah menampilkan sisi feminin dan kelembutan wanita.

Rekaan butik itu boleh dibeli pada harga mampu milik antara RM50 hingga RM59, bergantung kepada kualiti kain dan rekaan.

Untuk memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan, Nurul turut memperkenalkan rekaan baru setiap dua ke tiga minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 4:30 AM