Intan Mas Ayu Shahimi


Tampil memberi kelainan dalam fesyen, SC by Sofea Clozets mempertaruhkan busana indah daripada fabrik sari eksklusif yang unik dan selesa untuk disarung sedondon ibu serta anak pada hari raya nanti.

Bukan sekadar sari biasa, pilihan warna, corak dan sulaman pada busana juga menampakkan ciri elegan kepada pemakai.

Pengasasnya, Nurkhairiyah Noorhisham berkata, fabrik sari dipilih untuk memberi kelainan dan keunikan dalam fesyen wanita mahupun kanak-kanak setiap tahun.

“Sebagai pencinta sari, fabrik ini mempunyai keistimewaan tersendiri. Jenis kain yang pelbagai, corak, manik hiasan dan sulaman menampakkan ia cukup eksklusif. Malah kilauan benang dan perinciannya memberi elemen mewah.

“Bagi kami, penggunaan sari untuk baju kurung dan jubah bukan saja cantik tetapi unik. Pastinya ramai wanita mencari pilihan pakaian yang berbeza elemen, tetapi masih menyerlahkan ciri feminin.

“Ketika ramai wanita mula menitikberatkan ciri sopan dan menutup aurat dalam berpakaian tradisional, kami percaya koleksi ini memenuhi keperluan, sekali gus menyerlahkan lagi keanggunan pemakai,” katanya.

Selain baju kurung dan jubah untuk dewasa dan kanak-kanak, jenama itu turut menyediakan koleksi kurung moden dan kurung Kedah, mengikuti trend serta permintaan ramai.

Nurkhairiyah berkata, setiap pakaian menggunakan kain sari sutera berbeza. Malah, dia sendiri tidak sesekali berkompromi dengan kualiti fabrik dan jahitan demi memberikan yang terbaik kepada pelanggan.

Jubah Camellia

Jubah satin dengan potongan A dipadankan dengan kardigan sari. Ia boleh digayakan bersama atau secara berasingan. Terdapat poket di sisi kiri dan kanan, busana ini juga sesuai untuk ibu menyusu dan mesra wuduk.

JUBAH Camellia dengan kardigan sari.
JUBAH Camellia dengan kardigan sari.

Jubah Kareena

Jubah dewasa potongan pesak tepi memberi keselesaan pada pemakai. Koleksi ini sesuai untuk mereka yang sukakan jubah longgar dan memberi ‘ketinggian’ kepada pemakai. Kombinasi fabrik sari dan sifon pasti memberi gaya berbeza untuk raya kali ini.

GAUN Aurora hasil kombinasi fabrik satin dan sari.
GAUN Aurora hasil kombinasi fabrik satin dan sari.

Kurung Zienta

Kurung ekor ikan dengan perincian zip denim di depan ini memberi kelainan dalam koleksi kurung sari. Ia dipadankan dengan kain potongan duyung.

KURUNG sari beri kelainan.
KURUNG sari beri kelainan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 April 2018 @ 8:00 AM