ANATOMI farinks.
ANATOMI farinks.
DR Mallina menunjukkan anatomi farinks.
DR Mallina menunjukkan anatomi farinks.
Intan Mas Ayu Shahimi


Majoriti daripada kita mengambil mudah soal penjagaan dan kesihatan hidung kerana beranggapan ia tidak memerlukan perhatian khusus, apatah lagi dengan kedudukannya yang mudah dibelek setiap kali menatap wajah di cermin.

Gejala hidung tersumbat biasanya dianggap hanya resdung, sakit kepala dikaitkan dengan tekanan, selesema dijangka berpunca daripada jangkitan bakteria atau virus manakala hidung berdarah pula selalu disabitkan dengan cuaca panas.

Dalam situasi sebegini, simptom di atas dianggap perkara ringan sehinggakan jarang sekali muncul kemungkinan yang lebih besar dalam kotak fikiran. Paling tidak, kita mungkin akan mengesyaki diri menghadapi masalah sinusitis.

Secara amnya, sinusitis ialah keradangan pada lapisan membran dalam mana-mana ruang sinus. Ia membawa gejala selesema seperti hidung tersumbat, sakit pada pipi, sekitar mata dan muka, sakit kepala berpanjangan serta kekerapan bersin terutama pada waktu pagi.

Tambah merimaskan apabila muka turut berasa gatal seperti ada sesuatu merayap. Keadaan ini menyebabkan kita menjadi sangat sensitif kepada punca alahan termasuk perubahan cuaca (sejuk), pencemaran alam sekitar, habuk dan jangkitan bakteria.

Bagaimanapun, sinusitis adalah masalah yang sangat lazim di seluruh dunia. Jika dibuat imbasan kepada 10 orang normal, 80 peratus didapati mempunyai masalah sinusitis ringan yang tidak memerlukan rawatan. Antara punca yang paling kerap dikesan disebabkan jangkitan bakteria.

Namun pernahkah anda terfikir mengenai kemungkinan menghidap penyakit kanser nasofarinks atau kanser pangkal hidung? Sedekad lalu, penyakit ini pernah dianggap unik kerana banyak ditemui dalam kalangan masyarakat Asia Tenggara dan di China Selatan.

Satu hal yang perlu diketahui kanser ini sukar dikesan kerana tidak menunjukkan simptom ketara. Malah kedudukannya di bahagian belakang hidung dan di atas tekak tidak dapat dilihat dengan hanya pemeriksaan kesihatan biasa.

Perunding telinga, hidung dan tekak (ENT) merangkap Pakar Bedah Kepala dan Leher Pusat Perubatan Tropicana, Dr Mallina Sivarajasingam berkata, kanser nasofarinks adalah sejenis kanser yang menyerang bahagian pangkal hidung sehingga ke farinks.

Bahagian itu dianggap berisiko kerana terletak di kawasan sempit dan tersembunyi, berdekatan otak dan tiub eustachia iaitu saluran yang menyambungkan telinga tengah dengan farinks. Dalam kebanyakan kes, kanser ini sukar dikesan awal berikutan tidak menunjukkan simptom khusus, malah hampir serupa dengan penyakit biasa.

“Karsinoma nasofarinks kerap ditemui tumbuh daripada ‘fossa rosenmuller’ dan merebak ke hidung, tenggorok serta dasar tengkorak. Selalunya, 70 peratus daripada pesakit akan mengalami simptom hingus atau kahak bercampur darah. Ia bukan keluar secara menitis, tetapi hanya bercampur sedikit. Darah berkenaan pula merah cerah, bukan kecoklatan.

“Keduanya, 60 peratus daripada pesakit akan mempunyai kesan bengkak di tepi leher. Bengkak ini bagaimanapun tidak mendatangkan rasa sakit, sebaliknya akan terus membesar dari semasa ke semasa.

“Simptom ketiga adalah paling kerap ditemui iaitu telinga tersumbat. Ini lazimnya ditemui dalam kalangan pesakit dewasa. Mereka datang ke hospital dan mengadu kurang dengar, telinga tersumbat, pendengaran terhalang dan sebagainya, namun tidak berasa sakit. Ini berlaku apabila tumor tumbuh berdekatan tiub eustachia dan menutup ruang yang menghubungkan telinga. Akibatnya, banyak cecair bertakung di bahagian dalam salur yang akan menekan gegendang dan akhirnya menghalang pendengaran.

“Selain itu, ada juga simptom lain yang jarang berlaku seperti rasa kebas di bahagian pipi dan diplopia atau sebelah mata tidak boleh bergerak. Apabila ini berlaku, boleh dianggap pesakit sudah menderita kanser tahap empat,” katanya.

Jelas Dr Mallina, golongan paling berisiko mendapat serangan kanser ini di Malaysia adalah kaum Cina, diikuti masyarakat Sabah dan Sarawak khususnya Bidayuh.

“Hal ini dipengaruhi faktor migrasi penduduk yang sebahagian daripada mereka ini berdarah campuran Filipina. Sementara Filipina pula mempunyai banyak pengaruh Cina. Kemudian, barulah pecahan kaum Melayu dan India.

“Penyebab utama yang dikesan ketika ini adalah faktor genetik atau keturunan. Jika seseorang itu mempunyai sejarah keluarga yang menghidap karsinoma nasofarinks, dia perlu tahu petanda dan simptom awal serta mengambil langkah berjaga-jaga.

“Dari segi jantina, kanser ini selalunya akan menyerang lelaki dengan nisbah 3:1 berbanding wanita manakala umur pula tergolong dalam kelompok 40 hingga 60 tahun. Perlu diingatkan perokok antara kelompok yang berisiko lebih tinggi,” katanya.

IKAN MASIN JADI PUNCA

Dr Mallina, selain faktor genetik, kaitan utama yang sering disebut menjadi punca dan penyebab khusus kanser ini adalah pengambilan sumber makanan diawet seperti ikan masin, sayuran berjeruk dan makanan dalam tin.

“Makanan yang diawet seperti ikan masin dan daging salai biasanya mengandungi nitrosamina. Ia bersifat karsinogenik yang cenderung membawa kepada kanser. Begitu juga dengan orang yang terdedah kepada suasana kerja tidak sihat, berdepan habuk serta banyak bermain dengan bahan pelarut serta pencair (thinner). Mereka ini tergolong dalam kelompok berisiko,” katanya.

Beliau berkata, kesembuhan kanser dinilai dari sudut berbeza, berbanding pelbagai jenis penyakit berbahaya lain. Ia bergantung kepada tahap kanser dihidapi, jenis rawatan dan tingkat kelangsungan hidup pesakit itu sendiri.

“Apabila kita bercakap mengenai kanser, kesembuhan pesakit diukur daripada tahap kelangsungan hidup mereka dalam tempoh lima tahun selepas mendapatkan rawatan sewajarnya. Sekiranya mereka mampu melangkaui jangka masa itu, pesakit dianggap sembuh.

“Jadi, bagi pesakit kanser nasofarinks tahap satu, mereka mempunyai 80 peratus peluang untuk melepasi tempoh lima tahun. Bagi tahap dua, tiga dan seterusnya, peratus ini akan semakin berkurangan. Sebab itulah pesakit disaran menjalani saringan awal sekiranya tergolong dalam kelompok berisiko atau mendapati simptom berkaitan pada tubuh.

“Jangan mudah membuat kesimpulan sendiri, sebaliknya usahakan untuk bertemu dengan pakar ENT di hospital berdekatan kerana lokasi tumor ini memang sukar dilihat. Doktor biasanya akan menggunakan skop nasofarinks (nasoskopi) yang dilengkapi kamera untuk melihat kewujudan tumor, meneliti saiz dan posisinya serta mengenal pasti sejauh mana kanser merebak.

“Kemudian doktor akan terus mengambil biopsi daripada hidung untuk dihantar ke makmal bagi mengenal pasti jenis karsinoma nasofarinks, sama ada ia terdiri daripada ‘keratinizing’, ‘non-keratinizing’ atau ‘undifferentiated’. Ketiga-tiga jenis klasifikasi ini mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.

Situasi berbeza sekiranya pesakit datang ke hospital dengan bengkak di tepi leher. Kata Dr Mallina, kes sedemikian lazimnya akan membabitkan prosedur kajian sel atau disebut sebagai sitologi. Jarum dimasukkan ke bahagian berkenaan untuk mendapatkan sampel uji kaji.

“Seterusnya, barulah doktor lakukan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) pada bahagian otak, nasofarinks, leher dan paru-paru. Imbasan ini penting kerana paru-paru adalah tempat pertama yang membolehkan karsinoma nasofarinks merebak keluar dari tempat asalnya. Malah, 60 peratus metastasis (kanser merebak) adalah kepada organ berkenaan. Bermula daripada pangkal hidung, tenggorok, kemudian ke dasar tengkorak, kanser ini boleh merebak ke tisu limfa dan akhirnya pergi ke paru-paru,” katanya.

Menyentuh mengenai kaedah pemulihan kanser ini, beliau menjelaskan, rawatan utama karsinoma nasofarinks adalah radioterapi.

“Bagi pesakit kanser tahap satu, hanya akan diberi radioterapi atau kaedah terkininya disebut IMRT (intensity modulated radioterapi). Kalau dulu, pesakit terpaksa melalui rawatan radioterapi luaran, tetapi kini IMRT lebih berfokus ke arah tumor itu sendiri.

“Sebelum ini pesakit kanser nasofarinks dirawat dengan terapi sinaran 60 Gray (Gy) dari luar dan semua bahagian tubuh atau organ sehingga ke lapisan tumor akan mendapat kesan radiasi dalam jumlah sama. Tetapi kini sinaran berkenaan akan terarah 100 peratus kepada tumor, sementara lapisan luaran menerima dalam peratusan yang lebih rendah. Ini sekali gus mengurangkan kerosakan pada bahagian sekitar seperti telinga dan mata.

“Kemudian, bagi pesakit kanser tahap dua sehingga empat, mereka akan diberi rawatan IMRT bersama kemoterapi. Rawatan pembedahan adalah sangat kecil dan jika diperlukan sekalipun hanyalah bagi kes berulang di bahagian hidung atau leher. Jika ia berulang di tempat sama, doktor akan keluarkan (buang) semua bahagian nasofarinks melalui hidung secara endoskopi.

“Semua rawatan yang ada ketika ini adalah berisiko rendah kecuali bagi pesakit kanser tahap tiga dan empat. Pada situasi ini, ada yang sel kansernya sudah merebak ke otak dan menjejaskan saraf. Jadi itu akan membawa lebih banyak masalah. Malah yang sampai ke paru-paru juga diklasifikasi sebagai tahap empat,” katanya.

ADA KESEDARAN, TAPI SUKAR

Melihat situasi kini, Dr Mallina berkata, masyarakat Malaysia kian prihatin terhadap tahap kesihatan dan perubahan tubuh. Ramai yang mula mendapatkan pemeriksaan secara berkala dan merujuk pandangan pakar perubatan. Namun demikian masih ramai juga yang lewat mendapatkan rawatan dan didiagnos tahap tiga dan empat kanser nasofarinks.

“Setakat ini, boleh dikatakan 70 peratus pesakit datang pada tahap tiga dan empat kerana kanser ini sukar dikesan. Mereka bukan saja tidak nampak perubahan dalaman, malah tidak berasa sakit. Jika ada sekalipun, hanya sedikit kesan darah bercampur hingus. Itupun masih ramai yang fikir ia perkara normal.

“Sebaik-baiknya jika umur sudah mencecah 50 tahun, merokok dan ada sedikit kesan darah dalam hidung, rujuklah kepada doktor. Ramai orang, kalau mengalami bengkak di leher yang tidak sakit, mereka tidak pergi ke klinik atau hospital. Mereka fikir, kalau tidak sakit maka tidak perlu risau. Tapi sebenarnya, yang tidak sakit itulah perlu dirisaukan.

“Petanda kanser ini sangat kecil dan ia tumbuh di kawasan tersembunyi. Biasanya, memang ia tidak memberi masalah sehinggalah telinga atau hidung tersumbat. Itu bermakna tumor itu sudah membesar. Apabila sampai tahap sakit kepala berpanjangan, berdengung, itu bermakna tumor berkenaan sudah agak besar.

“Perhatikan beberapa tanda ini. Jika ada kesan darah keluar bersama hingus dan ia berpanjangan, anda lelaki, Cina dan berumur antara 40 hingga 50 tahun, segeralah ke hospital untuk pemeriksaan,” katanya.

TIP PENJAGAAN TEKAK, HIDUNG

- Bersederhana dalam pengambilan diet harian.

- Minum cukup air.

- Amalkan pengambilan probiotik.

- Berhenti merokok.

- Elak daripada kawasan. sesak dan berhabuk

- Tingkatkan pengambilan sumber antioksidan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2017 @ 1:31 PM