LEUKIMIA kanser popular dalam kalangan kanak-kanak.
LEUKIMIA kanser popular dalam kalangan kanak-kanak.
Aniza Zainudin


SELEPAS insiden kemalangan, kanser dikategorikan penyebab utama kematian kanak-kanak setiap tahun.

Merujuk kepada data diberikan, kira-kira 12,000 kes kanser baru dilaporkan setiap tahun di Amerika Syarikat, manakala Malaysia pula mencatatkan sebanyak 750 kes kanak-kanak didiagnosis sebagai pesakit kanser dalam tempoh yang sama.

Badan manusia terdiri daripada lebih ratusan juta sel dan kanser terjadi apabila berlakunya perubahan dalam satu sel atau sekumpulan kecil sel.

Secara normal, tubuh manusia mempunyai bilangan setiap jenis sel yang tepat kerana sel ini berfungsi menghasilkan isyarat untuk mengawal jumlah serta kekerapan sel ini membahagi.

Sekiranya isyarat ini mengalami gangguan atau rosak, sel mula berkembang ataupun dihasilkan terlalu banyak hingga membentuk ketulan disebut tumor.

Segelintir kanser seperti leukemia bermula daripada sel darah, namun tidak membentuk tumor pepejal, sebaliknya sel kanser ini membina darah ataupun sumsum tulang.

Dikatakan terdapat lebih 200 jenis kanser, penyakit pertumbuhan sel abnormal tidak terkawal ini turut diklasifikasikan mengikut jenis organ atau sel tisu yang terjejas.

Pakar Perunding Pediatrik, Hematologi dan Onkologi, Dr Eni Juraida Abdul Rahman berkata, kebanyakan kes kanser yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak tidak diketahui puncanya.

Namun, penyakit ini sering kali dikaitkan dengan perubahan asid deoksiribonukleik (DNA) dalam sel pada awal kelahiran, malah sebahagian kes sebelum bayi berkenaan dilahirkan.

Beliau turut mengakui faktor gaya hidup dan persekitaran tidak menyebabkan kanser kepada kanak-kanak kerana pada umur semuda itu, pendedahan kepada dua faktor itu terlalu sedikit.

TUMOR sistem saraf pusat (gambar kiri). Neurofibromatosis mampu merebak ke badan manusia. (gambar kanan)
TUMOR sistem saraf pusat (gambar kiri). Neurofibromatosis mampu merebak ke badan manusia. (gambar kanan)

“Kanser dalam kalangan kanak-kanak terbahagi kepada dua jenis kanser hematologi dan tumor berbentuk pepejal.

“Kanser hematologi juga dikenali sebagai kanser darah kerana ia bermula daripada pembentukan tisu darah seperti sumsum tulang dan sel sistem imun. Leukemia dan limfoma antara jenis barah hematologi.

“Manakala tumor pepejal sering berlaku di bahagian otak, hati seperti hepatoblastoma (ketumbuhan pada hati), ginjal (tumor Wilm), tulang (osteosarkoma atau kanser tulang), kelenjar adrenal (neuroblastoma), retina (retinoblastoma) dan otot rangka (rabdomiosarkoma).

“Antara jenis kanser paling popular berlaku dalam kalangan kanak-kanak atau bayi adalah leukemia, otak dan sistem saraf pusat (CNS), limfoma, saraf (neuroblastoma), tulang, tisu (sarcoma), buah pinggang dan retinoblastoma,” katanya dalam kempen kesedaran kanser kanak-kanak, baru-baru ini.

Dr Eni Juraida turut menyenarai faktor risiko berlakunya kanser kanak-kanak adalah genetik yang merangkumi bilangan kromosom abnormal seperti sindrom Down dan penyakit genetik luar biasa.

Faktor lain termasuk masalah kekurangan daya tahan sistem imunisasi sejak lahir, jangkitan virus seperti hepatitis B dan C bagi kanser hati manakala Epstein-Barr Virus (EBV) dalam limfoma Burkitt, limfoma Hodgkin dan barah hidung nasofaringeal karsinoma (NPC).

Selain pendedahan kepada radiasi, kehamilan pada usia lewat turut dikaitkan dengan peningkatan risiko kebanyakan jenis kanser kanak-kanak.

Merujuk kepada neurofibromatosis, ia adalah gangguan genetik yang menyebabkan tumor terbentuk pada tisu saraf dan merebak ke mana saja dalam sistem saraf manusia termasuk otak dan saraf tunjang, biasanya didiagnosis ketika kanak-kanak mahupun dewasa.

Jelas Dr Eni Juraida, neurofibromatosis ini mampu memberi kesan terhadap seluruh tubuh termasuk bahagian kepala (sawan, sakit kepala, barah otak, kecacatan saluran darah otak, terencat akal dan kepala bersaiz besar), masalah mata, pertuturan, tekanan darah tinggi, pigmentasi kulit cafe au lait pelbagai saiz, skoliosis, masalah saluran penghadaman serta kecacatan tulang.

“Sebenarnya sukar untuk ibu bapa mengenal pasti kehadiran penyakit kanser pada anak mereka kerana ketiadaan gejala pada fasa awal. Kemungkinan tanda yang ada menyerupai penyakit kanak-kanak biasa seperti jangkitan dan kecederaan hingga mengakibatkan kelewatan diagnosis.

“Sebagai contoh demam denggi, selepas dua hingga tiga minggu, bacaan platlet darah seharusnya kembali normal. Sekiranya berterusan, ibu bapa perlu mengambil tindakan susulan kerana tidak mustahil anak itu mempunyai masalah kesihatan lain.

“Disarankan ibu bapa merujuk kes anak ke unit onkologi paediatrik untuk menjalani ujian klinikal seperti ujian darah, sinar-X, sumsum tulang dan biopsi tisu.

“Sebaik jenis kanser dikenal pasti, peringkat seterusnya adalah mengetahui tahap berapa kanser itu dan sejauh mana ia merebak? Tidak dinafikan, apabila anak disahkan menghidap kanser pastinya ia memberi tekanan emosi kepada ibu bapa, malah situasi sama turut dialami pesakit dan anak yang lain.

“Ibu bapa perlu mendapatkan rundingan kaunseling untuk memahami dan memberi persetujuan terhadap jenis rawatan bakal dilaksanakan.

“Dalam masa sama, keluarga digalakkan menjalani terapi demi memberi sokongan fizikal, emosional dan kewangan,” jelasnya.

Rawatan kanser diberikan bergantung kepada jenis dan peringkat seperti kemoterapi, pembedahan, radioterapi mahupun gabungan dua atau tiga jenis rawatan berkenaan.

Menurut Dr Eni Juraida, kanser kanak-kanak boleh dirawat dan berpotensi besar untuk kembali sembuh kerana kadar kelangsungan hidup selama lima tahun adalah sebanyak 80 peratus bergantung kepada jenis kanser dihidapi.

Selain itu, beliau turut mengakui kanser dalam kalangan kanak-kanak memberi respons positif terhadap rawatan diterima terutama kemoterapi. Justeru, kerjasama rapat antara keluarga dan doktor sangat digalakkan.

Tanda amaran kanser:

Perubahan yang tidak diketahui puncanya

1. Keletihan yang diketahui puncanya atau kehilangan berat badan secara mendadak.

2. Terdapat ketulan yang tidak diketahui puncanya, bengkak yang tidak surut atau semakin membesar. Ketulan ini mungkin menyebabkan rasa sakit atau tidak.

Perubahan secara berterusan

1. Perut kembung atau kesakitan berterusan di bahagian abdomen.

2. Luka tidak sembuh, mengalami perubahan warna, menjadi ulser atau berlaku pendarahan.

3. Masalah penghadaman, pedih ulu hati atau kesukaran untuk menelan.

4. Batuk yang dialami selama lebih dua minggu, nafas semakin pendek dan perubahan suara menjadi serak.

Perubahan ganjil

1. Pendarahan ganjil. Batuk berdarah, darah dalam air kencing atau najis.

2. Pendarahan hidang berserta pekak, pendengaran tidak jelas atau pendengaran seperti bunyi deringan di dalam telinga.

3. Perubahan ganjil pada saluran usus atau pundi kencing secara kerap dan konsisten selama dua hingga tiga bulan, termasuk cirit-birit, sembelit dan masalah membuang air kecil.

4. Perubahan ganjil dan jelas pada saiz dan tekstur dalam tompok pada kulit, ketuat atau tahi lalat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 4:30 AM