FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

London: Individu berusia lebih 50 tahun di United Kingdom (UK) akan ditawarkan dengan suntikan dos penggalak kedua Covid-19 serta vaksin selesema pada musim luruh ini.

Individu lain yang layak menerima dos tambahan itu termasuk penghuni pusat jagaan untuk orang dewasa dan kakitangan lebih berusia, pekerja kesihatan dan penjagaan sosial barisan hadapan dan mereka yang berumur lima hingga 49 tahun dalam kumpulan berisiko klinikal termasuk wanita hamil.

Suntikan itu juga akan ditawarkan kepada mereka yang berumur lima hingga 49 tahun yang menjadi kontak rapat isi rumah mereka yang mengalami imunosupresi dan mereka yang berumur 16 hingga 49 tahun adalah penjaga.

Perkara itu diumumkan, Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA).

Ketua Imunisasi UKHSA, Dr Mary Ramsay berkata, langkah berkenaan akan membantu mengurangkan bilangan individu sakit teruk dan mengurangkan tekanan ke atas Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) terutama pada musim sejuk yang sibuk.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bersama Imunisasi dan Vaksinasi (JCVI), Prof Anthony Harnden berkata, pihaknya memberikan cadangan itu bagi memastikan hospital dan sistem kesihatan mempunyai masa mencukupi untuk merancang bagi pelancaran vaksinasi sebelum musim sejuk melanda.

"Suntikan penggalak Covid-19 sangat berkesan dalam meningkatkan imuniti dan dengan menawarkan dos tambahan kepada mereka yang berisiko tinggi mendapat penyakit teruk pada musim luruh ini, kami berharap dapat mengurangkan risiko kemasukan ke hospital dan kematian dengan ketara sepanjang musim sejuk," katanya.

Jangkitan Covid-19 di UK melonjak hampir 800,000 kes dalam seminggu dengan beberapa bahagian negara itu dilihat semakin menghampiri paras rekod pada musim bunga.

Bilangan kemasukan ke hospital juga terus meningkat akibat penularan varian BA.4 dan BA.5.

Langkah suntikan tambahan itu adalah perubahan kepada garis panduan dikeluarkan JCVI yang mengesyorkan vaksin kepada individu berusia lebih 65 tahun.

Ia dipersejutui apabila jawatankuasa terbabit mempertimbangkan penularan varian BA.4 dan BA.5 serta faedah menggabungkan dos penggalak dan vaksin selsema.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 11:20 AM