Mohd Roji Kawi


Kuching: Lebih 122,000 individu di Sarawak akan menerima suntikan dos ketiga dan dos penggalak vaksin Covid-19, mulai hari ini.

Timbalan Jabatan Pengarah Kesihatan negeri Dr Rosemawati Ariffin berkata,

daripada jumlah itu, seramai 11,900 individu mempunyai sistem ketahanan badan yang lemah akibat penyakit atau rawatan perubatan akan diberikan dos ketiga.

Menurutnya, dos penggalak pula akan diberikan kepada 80,300 warga emas yang berusia lebih 60 tahun serta 30,340 petugas barisan hadapan perubatan.

"Pemberian dos ketiga dan dos penggalak itu tidak bermakana vaksin yang sudah diberi sebelum ini tidak memberi kesan perlindungan klinikal seperti dikehendaki.

"Ia untuk memberi perlindungan tambahan kerana dua dos sahaja tidak mencukupi untuk memberi mereka perlindungan atau merangsang sistem imun untuk melawan jangkitan Covid-19," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Rosemawati berkata, dos ketiga vaksin Covid-19 didefinisikan sebagai pemberian dos vaksin tambahan apabila tindak balas imun seseorang di peringkat awal berkemungkinan tidak mencukupi berikutan daripada pemberian awal vaksin secara berturut-turut.

"Dos penggalak vaksin Covid-19 pula adalah vaksin bagi seseorang yang pada awalnya mempunyai tindak balas imun cukup terhadap pemberian vaksin secara berturut-turut tetapi mungkin menjadi semakin berkurang dari semasa ke semasa," katanya.

Katanya lagi, semua penerima dos ketiga dan dos penggalak ketika ini akan menggunakan vaksin Pfizer Covid-19.

"Suntikan dos ketiga dan dos penggalak vaksin Covid-19 boleh didapati di klinik kesihatan kerajaan terpilih, hospital swasta dan klinik swasta.

"Bagi mereka yang layak, bolehlah menghubungi klinik terbabit terlebih dahulu jika ingin mendapatkan janji temu. Senarai nama klinik kesihatan kerajaan, klinik dan hospital swasta akan dimaklumkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa melalui saluran media massa dan media sosial untuk memudahkan proses janji temu," katanya.

Sementara itu, petugas barisan hadapan, Mohd Peros Han, 35, berkata, beliau teruja apabila disenaraikan antara penerima dos ketiga vaksin itu.

"Saya menerima suntikan itu di Dewan Masyarakat Serian bersama rakan setugas yang lain hari ini.

"Memang lega dan merasa lebih selamat apabila menerima suntikan dos ketiga ini," katanya yang bertugas dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 1:22 PM