GAMBAR fail. FOTO AFP
GAMBAR fail. FOTO AFP
AFP

Washington: Pfizer-BioNTech semalam menyerahkan data klinikal awal kepada pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) sebagai usaha mendapatkan kebenaran suntikan dos ketiga vaksin Covid-19 untuk semua penduduk negara itu.

Minggu lalu, AS meluluskan suntikan dos penggalak Pfizer-BioNTech dan Moderna untuk individu mempunyai sistem imun yang lemah.

Pfizer-BioNTech mengemukakan keputusan ujian Fasa Pertama yang menilai keselamatan dan keberkesanan suntikan dos ketiga.

"Kami melihat data setakat ini menunjukkan dos ketiga merangsang antibodi pada tahap jauh melebihi kadar antibodi selepas dua dos suntikan," kata Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Albert Bourla, dalam satu kenyataan.

"Suntikan vaksin penggalak dapat membantu mengurangkan jangkitan dan kesan penyakit bagi mereka yang sudah divaksin dan dapat mengawal penularan virus itu," kata pengasas bersama BioNTech, Ugur Sahin.

"Ia juga mampu membendung penularan Covid-19 varian baharu pada masa akan datang," katanya.

Syarikat terbabit berhasrat mengemukakan maklumat berkenaan kepada pihak berkuasa di Eropah dalam beberapa minggu lagi.

Tindakan itu diteruskan walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa moratorium bagi suntikan dos penggalak untuk mengurangkan ketidakadilan pengagihan vaksin antara negara kaya dan miskin.

Sebuah jawatankuasa penasihat Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit iaitu agensi penjagaan kesihatan tertinggi di AS, dijadualkan bertemu pada akhir bulan ini.

Mereka akan membincangkan isu kelulusan dos vaksin penggalak bagi penerima dewasa berusia lebih 65, penghuni pusat jagaan dan kakitangan sektor penjagaan kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 11:30 AM