Vaksin Covid-19 Valneva. - FOTO AFP
Vaksin Covid-19 Valneva. - FOTO AFP
AFP

London: Pihak berkuasa kawal selia United Kingdom (UK), MHRA, memaklumkan Britain meluluskan vaksin Covid-19 baharu yang dikeluarkan oleh firma pembuat ubat Austria-Perancis, Valneva.

Agensi Pengawalselia Ubat-ubatan dan Produk Penjagaan Kesihatan, dalam satu kenyataan berkata, kelulusan itu diberikan selepas vaksin Covid-19 Valneva didapati memenuhi keperluan keselamatan, kualiti dan standard keberkesanan.

Bulan lalu, Valneva yang menggunakan teknologi tradisional membabitkan virus tidak aktif, menerima kelulusan pertamanya dengan kebenaran kecemasan untuk digunakan di Bahrain.

Dalam perjanjian pembelian tahun lalu, Valneva komited untuk membekalkan kerajaan Teluk sebanyak satu juta dos vaksin.

Firma Austria-Perancis itu turut menandatangani perjanjian dengan Suruhanjaya Kesatuan Eropah (EU) berhubung pembekalan sehingga 60 juta dos pada 2022 dan 2023.

Valneva adalah vaksin koronavirus keenam yang diluluskan oleh UK, selepas AstraZeneca, Pfizer, Moderna, Janssen (Johnson & Johnson) dan Novavax.

"Suruhanjaya bebas mengenai Ubat-ubatan Manusia dan Kumpulan Kerja Pakar Covid-19 sudah mempertimbangkan secara teliti bukti yang disediakan.

"Kita dapati keseimbangan manfaat dan risiko adalah positif," menurut Presiden Suruhanjaya, Munir Pirmohamed, dalam satu kenyataan.

Vaksin itu diluluskan untuk kegunaan individu berusia 18 hingga 50 tahun dengan dua dos diberikan dalam sela waktu sekurang-kurang 28 hari.

Vaksin boleh disimpan pada suhu peti sejuk, sekali gus menjadikannya sesuai digunakan oleh negara yang tidak mempunyai logistik penyimpanan pada suhu yang sangat rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 6:28 PM