VAKSIN AstraZeneca. FOTO AFP
VAKSIN AstraZeneca. FOTO AFP
Agensi

Washington: Pengeluar vaksin Britain-Sweden, AstraZeneca menyatakan bahawa vaksin itu mempunyai keberkesanan 76 peratus.

Ia susulan kemas kini terbaharu terhadap data ujian kajian klinikal vaksin itu di Amerika Syarikat (AS).

Menurut maklumat terbaharu itu, ia mengubah tiga mata peratusan keberkesanan vaksin berkenaan berbanding 79 peratus sebelum ini.

Tahap itu bagi jangkitan Covid-19 yang bergejala.

Bagaimanapun, ia mengekalkan tahap keberkesanan 100 peratus terhadap jangkitan Covid-19 yang teruk.

Kemas kini itu dilakukan selepas panel pakar bebas yang dilantik mengawasi ujian menyatakan AstraZeneca gagal memasukkan data yang diperbaharui dalam data awal sebelum ini.

Institut Kesihatan Kebangsaan AS kemudian membuat permintaan luar biasa supaya AstraZeneca bekerjasama dengan panel dan mengeluarkan kenyataan media baharu.

"Kami berharap dapat mengemukakan permohonan untuk kebenaran penggunaan kecemasan di AS dan bersedia untuk mengeluarkan berjuta-juta dos vaksin ini ke seluruh AS," kata Naib

Presiden Eksekutif, Kajian dan Pembangunan, firma biofarmaseutikal itu, Mene Pangalos.

Angka baharu berdasarkan 32,449 peserta yang menyertai ujian klinikal di AS, Peru dan Chile. - AFP

Menerusi ujian itu, dua pertiga daripada peserta menerima vaksin itu, selebihnya menerima plasebo.

Setakat ini, AS sudah meluluskan tiga vaksin Covid-19 bagi kegunaan kecemasan untuk rakyatnya.

Ia terdiri daripada vaksin keluaran Johnson & Johnson yang penggunaan kecemasannya diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) AS, pada akhir bulan lalu.

Ia selepas kelulusan sama diberikan FDA kepada vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNtech dan Moderna, pada Disember tahun lalu.

Dalam pada itu, Agensi Perundangan Perubatan dan Penjagaan Kesihatan (MHRA) dan Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) mengesahkan vaksin AstraZeneca adalah selamat dan berkesan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 7:01 AM