GAMBAR fail pendaki menuju ke puncak Gunung Everest pada 31, Mei 202. FOTO Lakpa Sherpa/AFP
GAMBAR fail pendaki menuju ke puncak Gunung Everest pada 31, Mei 202. FOTO Lakpa Sherpa/AFP
Agensi

Kathmandu: Pendaki Gunung Everest kini diwajibkan membawa 'beg' najis mereka kembali ke kem pangkalan selepas mendaki gunung tertinggi di dunia itu berikutan arahan pihak berkuasa di Nepal.

Portal Independent melaporkan, peraturan baharu itu dibuat di tengah-tengah aduan yang semakin meningkat dalam kalangan pendaki mengenai jumlah 'sisa manusia' yang melapisi laluan ke atas gunung itu.

Perbandaran tempatan Pasang Lhamu mengumumkan bahawa pendaki akan dikehendaki membeli beg najis di Everest Base Camp (EBC) dan beg itu akan diperiksa semula apabila mereka kembali daripada pendakian.

Peraturan itu terpakai kepada pendaki Gunung Everest dan Gunung Lhotse, yang disambungkan ke Everest melalui Kol Selatan.

Isu najis manusia menjadi kebimbangan pihak berkuasa Nepal selama bertahun-tahun kerana semakin banyak permit dikeluarkan setiap tahun yang kemudiannya, kata pakar, menyebabkan kesesakan di pergunungan.

Inisiatif sedemikian berjaya dilaksanakan di pergunungan lain, seperti Gunung Denali di Alaska, dan ia dilaporkan disambut baik oleh pengendali ekspedisi Everest.

Pihak berkuasa berkata, peraturan baharu itu akan diperkenalkan menjelang musim pendakian tahun ini di Nepal, yang bermula pada Mac dan berlangsung sehingga Mei.

Mingma Sherpa, pengerusi perbandaran luar bandar Pasang Lhamu yang meliputi sebahagian besar wilayah Everest, memberitahu BBC News bahawa mereka mendapat aduan bahawa najis manusia kelihatan di atas batu dan beberapa pendaki jatuh sakit.

"Keadaan ini tidak boleh diterima dan menjejaskan imej kami. Gunung kami telah mula berbau busuk," katanya.

Menurut Jawatankuasa Kawalan Pencemaran Sagarmatha, dianggarkan terdapat kira-kira tiga tan sisa manusia yang bertaburan di antara kem satu, yang terletak di dasar Everest, dan kem empat, yang lebih dekat dengan puncak.

Chhiring Sherpa, ketua eksekutif organisasi itu berkata, "Separuh daripada itu dipercayai berada di South Col, juga dikenali sebagai kem empat."

"Sisa najis manusia masih menjadi isu utama, terutamanya di kem yang lebih tinggi di mana anda tidak dapat mencapainya," katanya.

Isu kesesakan masih belum ditangani oleh pihak berkuasa. Tahun lalu Nepal memberikan 478 permit pendakian yang memecahkan rekod pendakian untuk gunung itu, menarik lebih 1,500 pendaki, pemandu, dan kakitangan sokongan ke rantau ini. Rekod sebelumnya ialah 409 permit pada 2021.

Jawatankuasa Kawalan Pencemaran Sagarmatha dilaporkan memperoleh kira-kira 8,000 beg sisa kotoran dari Amerika Syarikat (AS), yang akan diedarkan dalam kalangan pendaki, sherpa, dan kakitangan sokongan.

Setiap orang akan diperuntukkan dua beg, direka untuk pelbagai kegunaan. Beg itu dilengkapi dengan bahan kimia yang memejalkan sisa manusia dan mengurangkan baunya dengan ketara.

Jonathan Reilly, pengarah Syarikat Ekspedisi British, yang menganjurkan perjalanan ke kem pangkalan Everest, memberitahu Telegraph, persoalannya adakah pendaki akan membawa beg tahi itu kembali ke bawah gunung atau adakah mereka akan membuangnya sahaja di sana.

"Itu akan menjadi lebih teruk daripada keadaan semasa kerana beg itu akan menyebabkan sisa tidak terbiodegradasi.

"Saya mengesyaki akan ada beberapa pendaki yang menggunakan beg itu tetapi kemudian membuangnya sahaja berbanding membawanya turun gunung," kritiknya.

Tetapi ada juga reaksi menyatakan harapan.

"Ia sememangnya satu perkara yang positif, dan kami akan gembira memainkan peranan kami untuk menjayakan ini," kata Dambar Parajuli, presiden Persatuan Operator Ekspedisi Nepal, kepada BBC.

Nepal mempunyai lapan daripada 14 puncak tertinggi di dunia.

Menurut Kementerian Pelancongan Nepal, sehingga 14 Mei tahun lalu, kerajaan menjana pendapatan AS$5.8 juta (kira-kira RM27.75 juta) daripada pelancongan gunung dan daripada jumlah itu AS$5 juta (kira-kira RM23.92 juta) diperolehi dari Everest sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 2:38 PM