GAMBAR pada 21 Mei 2018 menunjukkan pelbagai peralatan dan sampah yang ditinggalkan di Kem 4 Gunung Everest. FOTO AFP
GAMBAR pada 21 Mei 2018 menunjukkan pelbagai peralatan dan sampah yang ditinggalkan di Kem 4 Gunung Everest. FOTO AFP
AFP

PENDAKIAN komersil selama beberapa dekad menjadikan Gunung Everest sebagai tempat buangan sampah tertinggi dunia apabila semakin ramai pendaki tidak memberikan perhatian kepada kekotoran yang ditinggalkan.

Khemah, pendarflour, peralatan pendakian yang ditinggalkan, tong gas kosong malah najis manusia bersepah di laluan ke puncak setinggi 8,848 meter itu.

“Ia menjijikkan, menyakitkan mata. Gunung itu menampung sisa buangan bertan-tan,” kata Sherpa Pemba Dorje, yang sudah mendaki gunung itu 18 kali.

Ketika bilangan pendaki semakin bertambah, sekurang-kurangnya 600 berjaya menawan kemuncak tertinggi dunia itu tahun ini sahaja, masalah juga semakin buruk.

Sementara itu, glasiar yang semakin mencair disebabkan kepanasan global mendedahkan sampah yang terkumpul di atas gunung itu sejak Edmund Hillary dan Tenzing Norgay berjaya sampai ke puncak 65 tahun lalu.

Usaha sudah dijalankan. Lima tahun lalu, Nepal melaksanakan deposit sampah sebanyak AS$4,000 (RM15,000) bagi setiap pasukan yang akan dipulangkan jika setiap pendaki membawa turun sekurang-kurangnya lapan kilogram sampah.

Sementara di sebelah Tibet pula, mereka dikehendaki membawa turun jumlah sampah sama dan didenda AS$100 (RM400) setiap kilogram jika tidak berbuat demikian.

Pada 2017, pendaki di Nepal membawa turun hampir 25 tan sampah dan 15 tan sisa buangan manusia, menyamai tiga bas dua tingkat, menurut Jawatankuasa Kawalan Pencemaran Sagarmatha (SPCC).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Jun 2018 @ 7:10 PM