GUNUNG Everest, gambar fail. FOTO Reuters
GUNUNG Everest, gambar fail. FOTO Reuters
Agensi

Kathmandu: Seorang pendaki dari Amerika Syarikat meninggal dunia ketika mendaki Gunung Everest pada 1 Mei lalu, menurut kenyataan dikeluarkan Kedutaan Amerika Syarikat yang dihantar kepada CNN.

Dr Jonathan Sugarman meninggal dunia di Kem 2 pergunungan itu selepas mula berasa tidak sihat, menurut Pasang Sherpa, lapor agensi berita itu.

CNN melaporkan, Sugarman yang berasal dari Seattle adalah sebahagian daripada ekspedisi dijalankan pertubuhan Malim Gunung Antarabangsa (IMG) yang berpangkalan di Washington dengan Beyul Adventure mengendalikan logistik tempatan.

Sherpa berkata, mayat Sugarman kekal di Kem 2 bersama seluruh pasukan pendaki yang membabitkan 463 pendaki selepas pihak berkuasa Nepal mengeluarkan permit itu menjelang 26 April, untuk ekspedisi musim bunga ini ke Gunung Everest.

Musim bunga ialah masa paling popular untuk mendaki Gunung Everest dengan kebanyakan pendaki menyasarkan untuk mendaki puncak pada Mei.

Tiga Sherpa meninggal dunia bulan lalu selepas tertimbus oleh bongkah salji di Everest, menurut pegawai itu.

Ketiga-tiga mereka menghantar bahan untuk membina dan membersihkan laluan digunakan oleh pendaki untuk ke puncak gunung.

Nepal antara negara mempunyai lapan daripada 10 gunung tertinggi di dunia, aktiviti pendakian gunung adalah sumber pendapatan yang penting bagi Sherpa, walaupun terdapat risiko yang dikaitkan dengan mendaki Everest.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 2:59 PM