POLIS sempadan Israel menahan penduduk Palestin ketika pertempuran di Beit El, dekat Ramallah. FOTO Reuters
POLIS sempadan Israel menahan penduduk Palestin ketika pertempuran di Beit El, dekat Ramallah. FOTO Reuters
AFP

Baitulmaqdis: Tentera Israel membunuh empat rakyat Palestin dalam pertempuran berasingan di Tebing Barat, semalam.

Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan, tiga orang terbunuh akibat tembakan Israel ketika pasukan rejim itu menceroboh Jenin pada waktu subuh.

Katanya yang memetik sumber Keselamatan Palestin mengenal pasti seorang mangsa sebagai Deyaa Erhimi, 16, dari kampung berhampiran Beit Rima.

Dua lagi cedera dalam kejadian itu dan dirawat di hospital.

Hospital Ibn Sina Jenin mengenal pasti mangsa yang maut sebagai Atta Shalabi, Sidqi Zakarneh dan Tariq Damej.

Dalam pada itu, Ketua Bulan Sabit Merah Palestin di Jenin, Mahmud al-Saadi berkata, kru ambulans diserang dari sebuah bangunan di mana penembak tepat Israel mengganggu ketika mereka sedang memindahkan mangsa cedera ke hospital.

Kumpulan pejuang Jihad Islam berkata, pejuangnya terbabit dalam pertempuran sengit dengan tentera Israel di bandar utara Tebing Barat.

Sementara itu, tentera Israel mengesahkan pihaknya tidak mengalami kecederaan dalam pertempuran terbabit.

Katanya, pihaknya masuk ke kawasan itu bagi menjalankan operasi menahan individu disyaki terbabit dengan keganasan.

"Kami menjalankan beberapa operasi di seluruh Tebing Barat bermula Rabu dan Khamis untuk menangkap suspek yang dikehendaki di bandar termasuk Bethlehem dan Ramallah.

"Kemudian pada Khamis, tentera Israel menembak warga Palestin yang melempar batu dan botol ke arah kereta di jalan barat laut Ramallah," kata tentera dalam satu kenyataan.

Kira-kira 26 rakyat Israel dan 150 rakyat Palestin terkorban tahun ini akibat konflik Israel dan Palestin.

Jumlah korban termasuk lebih 40 rakyat Palestin yang terbunuh semasa operasi Israel di kawasan Jenin, antaranya kanak-kanak 12 tahun dan wartawan Palestin-Amerika, Shireen Abu Akleh serta pejuang Palestin.

Perdana Menteri Palestin Mohammad Shtayyeh menyeru masyarakat antarabangsa bersatu melindungi rakyatnya di tengah-tengah pertumpahan darah Palestin yang berterusan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 10:17 AM