GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

Baitulmaqdis: Seorang remaja Palestin terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Israel berhampiran Jenin di Tebing Barat yang diduduki, kata sumber perubatan.

Uday Salah, 17, maut akibat ditembak rejim Israel di Kafr Dan, wilayah Jenin", kata kementerian kesihatan Palestin.

Tentera Israel berkata mereka mensasarkan rumah pembunuh Mejar Bar Falah dan menahan penduduk di seluruh Tebing Barat.

Falah terbunuh pada Rabu dalam pertempuran berhampiran pusat pemeriksaan Jalameh, utara Jenin, yang turut mengorbankan warga Palestin, Ahmed Abed dan Abdul Rahman Abed.

Briged Al-Aqsa, sayap bersenjata Fatah mengaku bertanggungjawab atas kematian mejar Israel itu.

Kawasan itu mengalami keganasan yang kerap dalam beberapa bulan kebelakangan ini, sebahagian daripada serangan maut yang bermula pada pertengahan Mac susulan tindakan ke atas sasaran Israel.

Sebagai tindak balas, Israel melancarkan serbuan hampir setiap malam ke atas bandar dan Tebing Barat yang membunuh berpuluh-puluh rakyat Palestin, termasuk pejuang.

Minggu lalu, ketua tentera Israel Aviv Kohavi berkata "kira-kira 1,500 orang yang dikehendaki sudah ditangkap dan ratusan serangan dipatahkan dalam operasi itu.

Israel menduduki Tebing Barat sejak 1967 apabila ia menawan wilayah itu dari Jordan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 2:36 PM