GAZA. FOTO Reuters
GAZA. FOTO Reuters
AFP

Baitulmaqdis: Tentera Israel pada Sabtu memintas sebuah pesawat kecil di atas Semenanjung Gaza, dengan saksi memberitahu mereka mendengar letupan berhampiran sempadan.

Tentera Israel menegaskan ia bukan roket atau tembakan lain yang menimbulkan ancaman kepada pihaknya.

"Ia bukan pelancaran projektil," katanya dalam satu kenyataan.

Tentera Israel tidak menyatakan ke mana pesawat itu menuju atau dari mana ia datang.

Tiada juga mana-mana kumpulan pejuang Palestin di Gaza yang mengakui bertanggungjawab.

Terdahulu, pada Sabtu, kumpulan Jihad Islam yang berpangkalan di Gaza berkata, ketuanya, Ziad al-Nakhala pergi ke Kaherah untuk bertemu ketua perisikan Mesir, Abbas Kamel.

Difahamkan, kedua-dua pihak membincangkan keadaan di Baitulmaqdis dan Tebing Barat, terutamanya Jenin, yang sering menjadi lokasi kejadian pertempuran dan menempatkan kem pelarian.

Tentera rejim, pada bulan lalu, melaksanakan operasi paling berdarah di Tebing Barat yang menyaksikan 10 individu terbunuh.

Lawatan Ziad menyusuli kunjungan Kamel ke bandar Ramallah di Tebing Barat, Selasa lalu, untuk bertemu Presiden Palestin Mahmud Abbas untuk membincangkan peningkatan keganasan, baru-baru ini.

Khamis lalu, Israel melakukan serangan udara di Semenanjung Gaza, beberapa jam selepas memintas roket yang dilepaskan dari wilayah Palestin.

Sejak awal tahun, konflik Israel-Palestin meragut nyawa 36 rakyat Palestin, termasuk penyerang, pejuang dan orang awam.

Enam orang awam Israel, termasuk seorang kanak-kanak dan orang awam Ukraine terbunuh dalam tempoh sama.

Semenanjung Gaza yang padat dengan 2.3 juta penduduk Palestin, berada di bawah sekatan Israel sejak Hamas menggulingkan tentera yang setia kepada Abbas pada 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 11:00 AM