Putrajaya: Malaysia mengutuk penggunaan kekerasan berlebihan oleh pasukan keselamatan Israel yang mengakibatkan jumlah kematian tinggi dalam kalangan rakyat Palestin.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, kerajaan melahirkan kebimbangan terhadap keganasan yang merebak di seluruh Tebing Barat membabitkan pertempuran berterusan antara rakyat Palestin dan pasukan keselamatan Israel.

Beliau berkata, sepanjang minggu lalu, pertempuran antara rakyat Palestin dan pasukan keselamatan Israel dilaporkan tercetus di lebih 50 lokasi yang berbeza termasuk di Timur Jerusalem, Ramallah, Hebron, Bethlehem, Jenin, Tulkarm dan Nablus.

“Malaysia juga sangat bimbang dengan peningkatan laporan keganasan penduduk Palestin dan Israel yang saling berbalas serangan.

“Serangan kejam tentera Israel ke atas orang awam yang tidak berdosa adalah tidak wajar dan ia satu jenayah terhadap kemanusiaan. Oleh itu, Malaysia menekankan adalah penting untuk memastikan bahawa pasukan keselamatan Israel mematuhi piawaian antarabangsa mengenai penggunaan tindakan kekerasan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, semalam.

Katanya, Malaysia menyambut baik perarakan solidariti oleh penduduk Palestin dan Israel pada 18 Oktober 2015 yang menyeru supaya keganasan di Tebing Barat dihentikan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 9:59 AM