Sebahagian etnik Rohingya yang mendarat di Aceh. - FOTO AP
Sebahagian etnik Rohingya yang mendarat di Aceh. - FOTO AP
AP

Banda Aceh: Lebih 100 pelarian warga Muslim Rohingya yang menaiki bot kayu mendarat di pantai wilayah paling utara Indonesia di Aceh, kumpulan kedua dalam tempoh beberapa hari lalu yang tiba di wilayah paling utara di Indonesia.

Ketua sub daerah Dewantara, Nawafil Mahyudha berkata, kumpulan berkenaan terdiri daripada 61 orang lelaki, 36 wanita dan 22 kanak-kanak mendarat pagi tadi di kampung Bluka Teubai, daerah Aceh Utara telah dibawa ke balai nelayan dan akan tinggal di sana sementara menunggu maklumat lanjut daripada pihak berkuasa tempatan.

Sekumpulan 110 orang pelarian Rohingya yang dalam keadaan lemah dan kelaparan turut mendarat di daerah Aceh Utara semalam selepas menaiki bot selama lebih sebulan.

Mereka menyasarkan Malaysia selepas meninggalkan Myanmar tetapi terkandas di perairan Aceh.

Pada Mac, 114 orang pelarian Rohingya turut ditemui di sebuah pantai di daerah berdekatan, dekat Bireuen.

Beratus-ratus ribu Muslim Rohingya telah melarikan diri dari Myanmar yang majoritinya diduduki penganut agama Buddha ke kem pelarian di Bangladesh sejak Ogos 2017, apabila tentera Myanmar melancarkan operasi sebagai tindak balas terhadap serangan kumpulan pemberontak.

Pasukan keselamatan Myanmar telah dituduh melakukan jenayah rogol besar-besaran, pembunuhan dan pembakaran membabitkan beribu-ribu rumah Rohingya.

Kumpulan Rohingya telah cuba meninggalkan kem di Bangladesh melalui laut untuk mencari kehidupan yang lebih baik di negara majoriti Islam lain di rantau ini.

Malaysia telah menjadi destinasi biasa bagi bot pelarian walaupun ramai pelarian Rohingya yang mendarat di sana menghadapi tahanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 6:44 PM