HAMPIR 1,100 pelarian Rohingya mendarat di wilayah Aceh, Indonesia, bulan ini.  FOTO AFP
HAMPIR 1,100 pelarian Rohingya mendarat di wilayah Aceh, Indonesia, bulan ini. FOTO AFP
AFP

Banda Aceh: Polis dan nelayan Indonesia mula membuat rondaan di bahagian wilayah paling barat negara itu untuk menghalang pelarian Rohingya daripada mendarat di pantai negara itu, selepas hampir 1,100 pelarian tiba, sejak bulan ini.

Beribu-ribu pelarian yang kebanyakannya beragama Islam mempertaruhkan nyawa mereka setiap tahun melakukan perjalanan laut dari kem pelarian di Bangladesh dengan menaiki bot kecil untuk cuba sampai ke Malaysia atau Indonesia.

Ketika keadaan semakin reda bulan ini, lebih setengah dozen bot yang membawa ratusan pelarian Rohingya dari Bangladesh tiba di wilayah Aceh.

Ketua Polis di Aceh Timur Andy Rahmansyah dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, 36 pelarian Rohingya tiba di pantai wilayah itu, sebelum pihaknya melaksanakan rondaan sepanjang masa.

"Kami mengarahkan pasukan polis termasuk polis pantai untuk memperhebatkan pengawasan di sepanjang pantai dan di perairan Selat Melaka bagi menghalang kemasukan pelarian Rohingya.

"Polis membuat rondaan 24 jam seminggu untuk menghalang mereka daripada mendarat di Aceh Timur," katanya.

Di Aceh Utara, ketua kampung Tanoh Anoe Amiruddin Ismail berkata, rondaan dipertingkatkan pada malam Jumaat selepas nelayan melaporkan ternampak bot yang membawa pelarian Rohingya berada tiga kilometer (km) dari pantai bandar Muara Batu.

Menurutnya, nelayan, unit polis dan tentera tempatan semuanya melakukan rondaan di sepanjang pantai sehingga bot yang didakwa tidak kelihatan lagi.

Ketua komuniti nelayan daerah Dewantara Aceh Utara Naharuddin berkata, pihaknya memang ada menjalankan rondaan.

"Kami segera melakukan pengawasan di sepanjang pantai. Semasa nelayan turun ke laut kita minta mereka berjaga-jaga," katanya.

Pakar menyatakan kebimbangan Indonesia akan menjadi negara seterusnya untuk mengetatkan sempadannya untuk menghalang pendaratan pelarian Rohingya, dengan Malaysia, Thailand dan India semua menghalang ketibaan mereka.

Namun, ramai penduduk Aceh bersimpati dengan nasib saudara seagama mereka.

Dilaporkan, lebih sejuta etnik Rohingya meninggalkan Myanmar sejak 1990-an, kebanyakannya susulan tindakan keras tentera 2017 yang memaksa mereka untuk menetap di kem di Bangladesh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 10:14 AM