PENDUDUK tempatan membantu menghantar individu Rohingya ke pejabat daerah Samatiga, susulan insiden bot karam itu. FOTO Antara Foto/ Reuters
PENDUDUK tempatan membantu menghantar individu Rohingya ke pejabat daerah Samatiga, susulan insiden bot karam itu. FOTO Antara Foto/ Reuters
AFP

Jakarta: Sebuah bot yang membawa lebih 100 pelarian Rohingya dan sebuah kapal nelayan yang cuba membantu mereka karam di perairan Indonesia, Rabu lalu.

Nelayan tempatan Aceh Barat, Nanda Ferdiansyah memberitahu AFP, enam diselamatkan dan beberapa daripada mereka dibawa arus.

"Kami menerima laporan daripada nelayan di Aceh Barat, bot yang membawa pelarian Rohingya terbalik di laut berhampiran Meulaboh.

"Seorang nelayan melihat etnik Rohingya dengan bot dinaiki mereka, karam, jam 8 pagi.

"Sebaik bot nelayan menghampiri, mereka semua menaiki bot nelayan itu sebelum ia terbalik kerana terlebih kapasiti," katanya.

Setiausaha Agung Komuniti Nelayan daerah itu, Pawang Amiruddin berkata, bot Rohingya itu terbalik di pantai Kuala Bubon di Aceh Barat.

"Laporan daripada nelayan tempatan mengatakan sebuah bot Rohingya terbalik dan mereka menyelamatkan diri dengan berpaut pada badan bot yang terbalik itu.

"Beberapa orang lagi hanyut dibawa arus deras.

"Setakat ini, enam orang berjaya diselamatkan nelayan tempatan termasuk empat wanita dan dua lelaki," katanya.

Katanya, dia menganggarkan kira-kira 150 orang mangsa berada di atas bot.

"Tetapi kami hanya dapat pastikan enam saja berjaya mendarat.

"Pelarian itu mengatakan mereka berasal dari Myanmar dan cuba sampai ke Thailand tetapi beralih ke wilayah Aceh barat Indonesia selepas kehadiran mereka ditolak," katanya.

Insiden itu berlaku selepas berbulan-bulan Rohingya tiba di pantai Indonesia.

Data Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) merekodkan, sebanyak 1,752 pelarian kebanyakannya wanita dan kanak-kanak mendarat di wilayah Aceh dan Sumatera Utara sejak pertengahan November hingga penghujung Januari.

Agensi itu berkata, ia adalah kemasukan terbesar ke negara majoriti Islam itu sejak 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 11:09 AM