SALAH satu bot membawa pelarian Rohingya tiba di pantai di Aceh. FOTO AFP
SALAH satu bot membawa pelarian Rohingya tiba di pantai di Aceh. FOTO AFP
AFP

Jakarta: Kira-kira 200 pelarian Rohingya tiba di wilayah paling barat Indonesia, melalui laut, kata Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) pada Rabu.

Ia menjadikan jumlah ketibaan individu minoriti di Myanmar itu, pada minggu lalu, kepada lebih 1,000 orang.

Ribuan warga Rohingya yang kebanyakannya beragama Islam mempertaruhkan nyawa mereka setiap tahun dalam perjalanan laut yang panjang dengan kos yang mahal.

Lazimnya, mereka menaiki bot, dalam usaha untuk sampai ke Malaysia atau Indonesia.

Kumpulan terbaharu itu, termasuk lelaki, wanita dan kanak-kanak, mendarat di bandar kecil Sabang di wilayah Aceh, dekat hujung utara Sumatera, kira-kira 11 malam waktu tempatan pada Selasa.

"Datuk bandar kata (ada) 200 (orang). Dia memaklumkan kami mengenai pendaratan.

"Satu pasukan akan berlepas ke Sabang awal pagi esok," kata seorang jurucakap kepada kepada AFP.

Sementara itu, penduduk tempatan mendakwa, jumlah pelarian Rohingya yang baru mendarat itu mungkin lebih tinggi, dengan anggaran 360 orang.

Penduduk tempatan di Aceh minggu lalu menolak beberapa ketibaan bot dari Bangladesh dengan alasan tidak mempunyai sumber untuk menerima pelarian terdesak.

Dalam kebanyakan kes , pelarian menghabiskan masa berminggu-minggu di atas bot di laut.

Imej dan rakaman yang dilihat oleh AFP menunjukkan ketibaan terbaharu itu. Ia menunjukkan pelarian duduk dalam barisan di pantai di Sabang, Aceh dan bukannya dibawa ke tempat perlindungan.

Pasukan keselamatan dan penduduk tempatan kelihatan berdiri di sekeliling kumpulan pelarian itu.

Menurut jurucakap tempatan, pada minggu lalu sahaja, 1,100 pelarian Rohingya mendarat di Aceh, selepas lebih 800 individu daripada etnik sama tiba di wilayah itu sebelum itu sebelum ini.

UNHCR menganggarkan lebih 2,000 warga Rohingya menempuh perjalanan berisiko ke negara Asia Tenggara yang lain sepanjang tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 1:32 PM