KIM Yo Jong. FOTO fail AFP
KIM Yo Jong. FOTO fail AFP
Agensi

Pyongyang: Adik kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, Kim Yo Jong, menyalahkan risalah dari Korea Selatan sebagai punca wabak Covid-19 di Korea Utara, menurut media kerajaan.

Berita itu datang ketika Jong Un mengisytiharkan kemenangan ke atas Covid-19 dan mengarahkan sekatan yang dikenakan pada bulan Mei ditarik balik.

Korea Utara tidak mendedahkan berapa banyak kes Covid-19 dikesan dalam negara.

Korea Utara juga tidak melaporkan kes baharu yang dikesan sejak 29 Julai lalu, walaupun organisasi bantuan antarabangsa mengatakan ia mempunyai keupayaan ujian terhad.

Sambil menarik balik langkah antiwabak maksimum, Jong Un memaklumkan Korea Utara mesti mengekalkan dan mempergiat kerja antiwabak sehingga berakhirnya krisis kesihatan global menurut Agensi Berita Pusat Korea (KCNA ).

Penganalisis berkata, walaupun Korea Utara menggunakan wabak berkenaan untuk mengetatkan kawalan sosial, pengisytiharan kemenangannya boleh menjadi permulaan untuk memulihkan perdagangan yang dihalang oleh penutupan sempadan dan sekatan lain.

Pemerhati berkata, ia mungkin membuka jalan bagi Korea Utara untuk menjalankan ujian senjata nuklear buat kali pertama sejak 2017.

Setakat ini, 74 kematian dilaporkan secara rasmi di Korea Utara dan ia adalah 'keajaiban' yang belum pernah terjadi sebelum ini berbanding negara lain, lapor KCNA.

Daripada kes yang disahkan, Korea Utara melaporkan bilangan individu yang mengalami gejala demam.

Kes harian itu memuncak melebihi 392,920 pada 15 Mei, mendorong pakar kesihatan memberi amaran mengenai krisis yang tidak dapat dielakkan.

Yo Jong berkata, Jong Un mengalami gejala demam, dan menyalahkan risalah dari Korea Selatan yang menyebabkan wabak itu, lapor KCNA.

"Walaupun sakit teruk dengan demam panas, dia tidak boleh baring seketika memikirkan orang yang perlu dijaganya sehingga ke penghujungnya dalam menghadapi perang antiwabak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 2:18 PM