Gambar dikeluarkan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) menunjukkan Kim Jong Un menyaksikan ujian pelancaran senjata berpandu taktikal baharu di lokasi yang tidak didedahkan. - FOTO EPA
Gambar dikeluarkan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) menunjukkan Kim Jong Un menyaksikan ujian pelancaran senjata berpandu taktikal baharu di lokasi yang tidak didedahkan. - FOTO EPA
BERNAMA

Seoul: Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un menyaksikan kejayaan ujian pelancaran senjata berpandu taktikal baharu dalam meningkatkan kecekapan operasi taktikal nuklear, lapor agensi berita Yonhap memetik media kerajaan Pyongyang.

Sistem baharu itu amat penting bagi meningkatkan keupayaan tembakan unit artileri jarak jauh dan kecekapan pengendalian nuklear Korea Utara serta mempelbagaikan misi sasaran, lapor Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

"Ujian tembakan telah dilaksanakan dengan jayanya," menurut KCNA tanpa mendedahkan butiran lanjut mengenai senjata yang diuji.

Tentera Korea Selatan memaklumkan pihaknya mengesan dua peluru berpandu dilancarkan Korea Utara ke Laut Timur pada 6 petang Sabtu.

Pejabat Keselamatan Presiden, agensi tentera dan perisikan Korea Selatan mengadakan mesyuarat tergempar sejurus selepas pelancaran, menurut Ketua Staf Bersama.

Korea Utara dilihat menguji sistem artileri berat yang baharu dibangunkan atau peluru berpandu KN-23 yang dinaik taraf -- versi Sistem Peluru Berpandu Taktikal Tentera AS (ATACMS) buatan sendiri.

KN-23 diketahui mampu merentasi hingga 400 hingga 600 kilometer yang boleh menyasarkan Korea Selatan.

Ketika memeriksa sistem pelancaran terbaharu itu, Kim memberi arahan penting tentang "membina keupayaan pertahanan dan pasukan tempur nuklear negara," lapor KCNA.

Rancangan jangka panjang bagi jawatankuasa pusat Korea Utara adalah memperkukuh keupayaan pertahanan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 5:41 PM