KIM Jong Un dan adiknya, Kim Yo Jong. FOTO fail Reuters
KIM Jong Un dan adiknya, Kim Yo Jong. FOTO fail Reuters
AFP

Seoul: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mengisytiharkan 'kemenangan' melawan Covid-19 selepas tidak merekodkan kes baharu dalam tempoh dua minggu.

Ketika mempengerusikan mesyuarat bersama kakitangan kesihatan dan saintis, Kim mengumumkan kejayaan negara itu dalam melawan pandemik berkenaan, lapor agensi berita kerajaan, KCNA.

Kim berkata, kemenangan yang diperoleh rakyat negara itu adalah peristiwa bersejarah yang sekali lagi menunjukkan kepada dunia betapa hebatnya Korea Utara.

Pada akhir ucapan Kim, peserta bersorak dan mengadakan tepukan berulang kali sambil menangis mengenangkan eksploitasi besar dan khidmat bakti beliau lakukan untuk membawa kemenangan gemilang bersejarah itu.

Kim juga mengadakan sesi bergambar dengan hadirin dan pegawai kanan yang menyertai mereka dengan keterujaan dan kegembiraan.

Negara berkenaan, masih mengekalkan sekatan ketat Covid-19 sejak pandemik itu bermula, mengumumkan penularan Omicron di ibu negara Pyongyang, pada Mei lalu dan mengaktifkan satu sistem pencegahan kecemasan epidemik yang maksimum.

Korea Utara merujuk pesakit demam berbanding pesakit Covid-19 dalam rekod kes disebabkan kekurangan kapasiti ujian.

Namun, sejak 29 Julai, Pyongyang melaporkan tiada kes baharu virus itu.

Korea Utara merekodkan hampir 4.8 juta jangkitan sejak penghujung April lalu, dengan hanya 74 kematian untuk kadar kematian rasmi 0.002 peratus.

Negara itu mempunyai salah satu sistem penjagaan kesihatan paling teruk di dunia, dengan hospital kurang lengkap, beberapa unit rawatan rapi dan tiada ubat atau vaksin rawatan Covid-19, kata pakar.

Sebaliknya, Korea Selatan dengan sistem penjagaan kesihatan maju dan populasi yang diberi vaksin tinggi melaporkan kadar kematian Covid-19 sebanyak 0.12 peratus, menurut data rasmi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 10:14 AM