Sara Duterte (tengah) ketika upacara angkat sumpah sebagai naib presiden. FOTO AFP
Sara Duterte (tengah) ketika upacara angkat sumpah sebagai naib presiden. FOTO AFP
Agensi

Manila: Sara Duterte-Carpio yang mengangkat sumpah sebagai Naib Presiden Filipina ke-15 pada Ahad, menyeru perpaduan nasional berikutan kempen pilihan raya yang memecahbelahkan rakyat.

Duterte-Carpio, 44, adalah regu Ferdinand Marcos Jr, yang turut menang dalam pilihan raya 9 Mei dan akan mengangkat sumpah sebagai presiden negara itu pada 30 Jun ini, lapor Bangkok Post.

Marcos Jr, anak lelaki dan kepada diktator yang dihalau daripada kuasa dalam pemberontakan 1986, turut mengambil bahagian dalam upacara perasmian yang dihadiri saudara-mara, sekutu dan penyokong Duterte-Carpio.

"Hari-hari mendatang mungkin penuh dengan cabaran yang menyeru kita untuk lebih bersatu sebagai sebuah negara," kata Carpio dalam ucapan perasmian di kampung halamannya Davao, di mana dia mengangkat sumpah jawatan dengan ibu bapanya berdiri di sebelahnya.

Mereka berdua mencatatkan kemenangan besar, menjalin pakatan penting di atas mesej perpaduan yang turut membantu banyak sekutu memenangi kerusi dalam jawatan perundangan dan kerajaan tempatan.

Seperti bapanya, Duterte-Carpio bermula sebagai peguam sebelum memasuki politik pada 2007 apabila dia dipilih sebagai naib datuk bandar Davao, yang terletak 1,000 kilometer dari ibu kota Manila.

Beliau pada mulanya ingin menjadi seorang doktor tetapi meneruskan kerjaya politiknya dan pada 2010 menggantikan bapanya untuk menjadi datuk bandar wanita pertama Davao.

"Jika kita semua meluangkan sedikit masa mendengar seruan untuk berkhidmat dan memutuskan untuk menyahut seruan itu... saya percaya negara akan menuju ke arah masa depan yang penuh harapan, keselamatan, kekuatan, kestabilan dan kemajuan," kata Duterte-Carpio , yang juga akan berkhidmat sebagai setiausaha pendidikan kepada Marcos Jr.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2022 @ 9:32 AM