RODRIGO DUTERTE
RODRIGO DUTERTE
Agensi

Manila: Presiden Filipina Rodrigo Duterte akan bertanding senator pada pilihan raya tahun depan.

Ia langkah terakhir mengelakkannya daripada bertanding jawatan naib presiden dan bersaing dengan anak perempuannya sendiri.

CNN melaporkan, Duterte memfailkan pencalonan sebelum pendaftaran berakhir jam 5 petang waktu tempatan pada Isnin lalu.

Ia menamatkan khabar angin mengenai jawatan ditandingi dalam pilihan raya 2022 kerana Duterte tidak layak bertanding jawatan presiden.

Sebelum ini, setiausaha komunikasi Duterte berkata, presiden itu akan bertanding jawatan naib presiden.

Kemudian jurucakapnya berkata, Duterte tidak akan menentang anak perempuannya, Sara Duterte-Carpio yang memfailkan pencalonan sebagai naib presiden, menurut CNN Philippines.

"Mereka saling menyayangi, bapa dan anak perempuan Rodrigo Roa Duterte dan Datuk Bandar Inday Sara. Mereka tidak akan menentang satu sama lain," kata jurucakap Harry Roque kepada pemberita.

Tarikh akhir untuk parti-parti politik Filipina memuktamadkan calon pilihan raya tahun depan adalah pada Isnin lalu yang membuatkan ramai tertanya-tanya dengan perubahan saat-saat akhir dalam senarai pencalonan.

Di Filipina, presiden dan naib presiden dipilih dalam pertandingan berasingan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 6:01 AM