NAIB Presiden, Maria Leonor Robredo yang bertanding jawatan presiden, berucap dari trak ketika berkempen di selatan Manila. FOTO AFP
NAIB Presiden, Maria Leonor Robredo yang bertanding jawatan presiden, berucap dari trak ketika berkempen di selatan Manila. FOTO AFP
BERNAMA

Manila: Kempen pilihan raya presiden di Filipina secara rasmi bermula pada Selasa, tiga bulan sebelum pengundian dijadualkan berlangsung pada 9 Mei bagi memilih pemimpin baharu yang akan menerajui negara Asia Tenggara itu untuk tempoh enam tahun akan datang, lapor Xinhua.

Sekurang-kurangnya 67.5 juta rakyatnya sudah mendaftar untuk mengundi, termasuk 1.8 juta pengundi dari luar negara.

Mereka juga akan memilih naib presiden, kira-kira 300 ahli perwakilan, dan lebih 18,000 wakil dalam kerajaan tempatan.

Sebanyak 10 calon presiden dan sembilan calon naib presiden sudah dicalonkan.

Berdasarkan tinjauan, Ferdinand Marcos Jr., 64, anak lelaki kepada bekas Presiden Ferdinand Marcos, dilihat mendahului dalam saingan presiden.

Ia diikuti rapat Naib Presiden Maria Leonor Robredo berusia 56 tahun, Datuk Bandar Manila Francisco Domagoso, Senator Manny Pacquiao, Senator Panfilo Lacson, dan lima yang lain.

Di Filipina, presiden dan naib presiden dipilih secara berasingan.

Datuk Bandar Davao City Sara Duterte-Carpio, 43, anak perempuan kepada Presiden Rodrigo Duterte, akan bertanding jawatan naib presiden.

Sementara itu, Duterte dengan tempoh perkhidmatannya yang akan tamat pada Jun ini, masih belum menyatakan sokongan kepada mana-mana calon presiden.

Seperti dalam pilihan raya lalu, beberapa calon sudah mula berkempen di televisyen, media sosial dan radio, meskipun sebelum kempen bermula.

Seawal Oktober, calon presiden mula merentasi kepulauan menyampaikan hadiah dan wang tunai, melancarkan promosi di televisyen dan program pengiklanan di media sosial.

Nama dan gambar calon terpampang di papan iklan gergasi sepanjang lebuh raya utama.

Tidak seperti dahulu, calon-calon tidak lagi dibenarkan berkempen di bandar dan pekan, mendendangkan lagu cinta, memeluk bayi, dan menari di atas pentas bagi meraih undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengenakan sekatan bagi membendung penularan Covid-19, menghalang ahli politik berkempen rumah ke rumah, berkumpul, berjabat tangan, berpelukan, mencium, atau sebarang aktiviti yang membabitkan sentuhan fizikal.

TAMAT.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 3:50 PM