RAKAMAN insiden berkenaan.
RAKAMAN insiden berkenaan.
Agensi

Mumbai: Lima pemuda ditahan sebelum didenda berjalan itik gara-gara cuba menceroboh masuk kawasan larangan di pantai Marine Drive di sini.

India Times melaporkan perkara itu disahkan oleh jurucakap polis.

Lima pemuda berkenaan ditahan pada tengah hari Isnin lalu oleh anggota polis Mumbai yang kebetulan sedang melakukan rondaan di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, mereka tidak dibawa ke balai polis untuk disoal siasat.

Sebaliknya, pemuda itu dibebaskan anggota polis berkenaan selepas memberi mereka peringatan serta amaran mengenai keselamatan.

Kisah itu mendapat perhatian selepas tularnya gambar pemuda terbabit menjalani hukuman di laman sosial.

Gambar itu menimbulkan kekeliruan dalam kalangan netizen yang beranggapan lima pemuda berkenaan didenda kerana tidak memakai pelitup muka.

Namun, perkara itu disangkal oleh Inspektor Vishwanath Kolekar dari Balai Polis Marine Drive.

"Mereka bukan didenda kerana tidak memakai pelitup muka.

"Sebaliknya, mereka didenda berjalan itik kerana cuba menceroboh masuk ke kawasan pantai yang menjadi tempat larangan kerana berbahaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 6:30 AM