TANGKAP layar daripada video kejadian berkenaan. FOTO Agensi
TANGKAP layar daripada video kejadian berkenaan. FOTO Agensi
Agensi

New Delhi: Gara-gara tidak memakai pelitup muka dan bertengkar di hadapan anggota polis, suami isteri di India dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah pada Isnin lalu.

Hukuman itu dikenakan selepas permohonan mereka untuk diikat jamin ditolak oleh hakim.

Portal TimesNowNews melaporkan tertuduh dikenali Pankaj dan isterinya, Abha dari Patel Nagar didakwa mengikut Seksyen 188 Akta Pengurusan Bencana Delhi.

Pankaj ditahan pada Ahad manakala Abba keesokan harinya (Isnin).

Selepas ditahan, kedua-duanya saling menyalahkan satu sama lain.

Pankaj mendakwa isterinya melarangnya memakai pelitup muka.

Abha pula menyalahkan suaminya kerana berkelakuan tidak sopan di hadapan polis disebabkan dalam keadaan emosi.

"Kejadian dilaporkan berlaku di Dilli Gate dekat Daryaganj apabila seorang lelaki dan wanita iaitu suami isteri ditahan anggota polis ketika operasi sekatan jalan.

"Anggota bertugas meminta mereka memberhentikan kenderaan dan memeriksa pas pergerakan mereka.

"Namun, mereka bukan hanya gagal menunjukkan pas pergerakan. tetapi kedua-duanya juga tidak memakai pelitup muka," kata Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Jasmeet Singh.

Selain kesalahan berkenaan, Abba juga disyaki memalsukan namanya yang bukan Abha Yadav tetapi Urvashi Yadav. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 7:40 AM