TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan insiden berkenaan. FOTO Twitter
TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan insiden berkenaan. FOTO Twitter
Agensi

Washington: Satu penerbangan terpaksa ditunda berikutan pergaduhan di antara satu keluarga dan pramugari gara-gara kanak-kanak berusia dua tahun tidak memakai pelitup muka.

Kejadian itu dilaporkan portal Independent apabila syarikat penerbangan Spirit Airlines dari Orlando ke Atlantic City terpaksa ditangguhkan dua jam selepas berlaku perselisihan faham.

Berdasarkan video yang dikongsi di Twitter, seorang pramugari meminta satu keluarga terdiri daripada empat orang untuk turun daripada pesawat kerana enggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Pasangan suami isteri itu dilihat memakai pelitup muka dalam video berkenaan.

Mereka dilihat bertanya kepada pramugari mengapa tindakan diambil terhadap mereka kerana sudah memakai pelitup muka.

Bagaimanapun, pramugari itu menunjukkan ke arah anak mereka berusia dua tahun yang sedang makan di pangkuan ibunya.

Ketika ibu bertanya: "Bayi ini?" dan pramugari itu dikatakan mengangguk dan berkata: "Ya."

Seorang penumpang lain dalam penerbangan itu juga mempertikaikan tindakan pramugari itu berikutan ramai kanak-kanak lain juga dilihat tidak memakai pelitup muka.

Syarikat penerbangan itu mempertikaikan dakwaan keluarga itu apabila terpaksa menunda pesawat mereka berikutan ketidakpatuhan ibu bapa itu serta bukan disebabkan anak, lapor Newsweek.

Syarikat penerbangan itu hanya mematuhi protokol standard dalam industri penerbangan untuk menangguhkan pesawat sekiranya seorang penumpang tidak mengikuti protokol Covid-19.

Syarikat penerbangan itu mengakui seluruh pesawat itu terpaksa ditunda kerana keluarga itu enggan turun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 6:05 AM