TOWER Bridge
TOWER Bridge
Agensi

London: Ketika banyak negara di dunia kembali mengetatkan kawalan pergerakan susulan penularan Covid-19, terdapat lapan negara yang bebas daripada peraturan pemakaian pelitup muka.

Kompas melaporkan Amerika Syarikat pada 13 Mei lalu mengumumkan membenarkan rakyatnya yang sudah menerima vaksin untuk tidak perlu memakai pelitup muka.

Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, Rochelle Walensky berkata, mereka yang sudah divaksin bebas menjalankan aktiviti tanpa memakai pelitup muka, atau dengan menjaga penjarakan fizikal.

Bagaimanapun, keputusannya berhubung perkara itu bergantung kepada peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa di setiap negeri.

Begitu juga dengan Denmark yang mengumumkan masyarakat negara itu tidak perlu mengenakan pelitup muka kecuali ketika berada di dalam pengangkutan awam.

Langkah berkenaan bertujuan melonggarkan sekatan pergerakan dan negara itu akan membatalkan arahan penggunaan pelitup muka pada 1 September ini.

Masyarakat di Perancis juga meraikan kebenaran untuk tidak memakai pelitup muka pada 17 Jun lalu.

Perdana Menteri Perancis, Jean Castex mengumumkan akan menghapuskan larangan mengenainya selepas mengambil kira pandangan pakar kesihatan selain jumlah pesakit Covid-19 yang semakin berkurangan.

Di Greece, pihak berkuasa menamatkan arahan pemakaian pelitup muka, pada 24 Jun lalu.

Dengan jangkitan yang semakin berkurang, arahan memakainya hanya diwajibkan di ruang bertutup dan kawasan tumpuan ramai.

Sementara laman web rasmi Iceland memaklumkan, pelitup muka serta penjarakan fizikal tidak diwajibkan, malah jumlah mereka yang boleh berkumpul juga tidak dihadkan.

Negara itu menguruskan pandemik dengan begitu baik melalui sistem ujian, pengesanan kontak serta sekatan pergerakan beberapa kali.

Sebelum ini, Itali menjadi antara negara paling terjejas akibat wabak Covid-19, namun 28 Jun lalu, rakyat negara itu bebas daripada menggunakan pelitup muka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 7:01 AM