GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, mengarahkan supaya rancangan penghantaran pulang 1,200 tahanan Myanmar ke negara asal, ditangguhkan sementara.

Keputusan itu selepas mahkamah membenarkan permohonan oleh dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Amnesty International dan Asylum Access berhubung perkara itu.

"Ia bagi membolehkan mahkamah mendengar permohonan kedua-dua NGO berkenaan untuk menghalang usaha penghantaran pulang berkenaan," kata peguam mewakili NGO berkenaan, New Sin Yew, kepada AFP.

Menurut agensi berita itu, semua warga asing berkenaan sudah dibawa dengan bas ke sebuah kem pangkalan tentera di pantai barat Semenanjung.

Mereka kini menanti untuk menaiki kapal tentera laut Myanmar untuk dihantar pulang.

Amnesty International dan Asylum Access sebelum ini mengemukakan permohonan berkenaan, antaranya mendakwa usaha itu akan menyebabkan tahanan terbabit berdepan bahaya, jika dihantar pulang.

Tentera Myanmar sebelum ini merampas kuasa pada awal Februari dan menahan pemimpin negara itu, Aung San Suu Kyi, sebelum protes tercetus di seluruh negara berkenaan.

AFP yang memetik sumber pula menyatakan bahawa warga asing itu melakukan pelbagai kesalahan termasuk tinggal melebihi tempoh masa.

Selain itu, mereka bukanlah pelarian etnik Rohingya - yang tidak diiktiraf sebagai warganegara Myanmar - oleh pihak berkuasa negara itu.

Menurut Pengarah Antarabangsa Yayasan Geutanyoe, Lilianne Fan, tahanan terbabit terdiri daripada etnik Chin yang majoritinya beragama Kristian, dan penduduk dari negeri bergolak seperti Kachin dan Shan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 2:55 PM