BERNAMA

TUN Dr Mahathir Mohamad menggesa badan pemantau antarabangsa untuk memantau proses penghantaran pulang pelarian etnik Rohingya ke wilayah asal mereka di Rakhine, Myanmar.

Perdana Menteri yang menyuarakan isu pelarian etnik Rohingya ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 di Bangkok berkata, berkata pelan penghantaran pulang itu dibuat tanpa mengambil kira pandangan pelarian etnik Rohingya.

“Pandangan mereka mesti diambil kira kerana mereka takut balik ke wilayah Rakhine.

“Kita berharap kalau mereka kembali, komuniti antarabangsa boleh memantau dan memastikan mereka tidak dikenakan tindakan oleh wilayah Rakhine dan Myanmar,” katanya pada sidang media selepas mengakhiri lawatan kerja empat hari ke Thailand sempena sidang kemuncak berkenaan.

Dr Mahathir berkata, Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) merupakan satu-satu pemimpin yang menyuarakan isu Rohingya secara lantang sepanjang sidang kemuncak itu.

“Dia (Jokowi) cakap satu subjek sahaja (Rohingya). Saya cakap macam-macam (isu),” katanya.

Ditanya sama ada beliau mengadakan perbincangan dengan pemimpin awam Myanmar, Aung San Suu Kyi pada sidang kemuncak kali ini, Dr Mahathir berkata: “Dia duduk sebelah saya, mengikut susun abjad. Makan pun sebelah saya.”

Dr Mahathir merupakan antara pemimpin yang lantang menyuarakan isu pelarian Rohingya di rantau ini.

Menurut laporan Amnesty International, lebih 750,000 Rohingya, kebanyakan wanita dan kanak-kanak, melarikan diri ke Bangladesh sejak Ogos 2017 selepas tentera Myanmar didakwa melakukan penindasan dan kekerasan terhadap golongan kaum minoriti Islam itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 9:30 PM
DR Mahathir pada sidang media selepas mengakhiri lawatan kerja empat hari ke Thailand sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 di Bangkok. FOTO Bernama
DR Mahathir pada sidang media selepas mengakhiri lawatan kerja empat hari ke Thailand sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 di Bangkok. FOTO Bernama