Agensi

New York: Buat pertama kali pemerintah tentera Myanmar dan pegawai kanannya dinyatakan dalam dakwaan melakukan kekejaman serta menindas etnik Muslim Rohingya ‘serangan sistematik’.

Dakwaan Amnesty International itu menyatakan pemerintah tentera, Jeneral Min Aung Hlaing dan 12 pegawai kanan terbabit dalam kempen keganasan terancang di Rakhine.

Pertubuhan itu mendesak mereka dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

“Penghapusan etnik penduduk Rohingya dilaksanakan menerusi kempen kejam dan terancang, membabitkan pembunuhan ribuan penduduk Rohingya termasuk kanak-kanak oleh pasukan keselamatan,” kata laporan berkenaan.

Laporan itu juga mendakwa, pasukan keselamatan turut bertanggungjawab melakukan keganasan seksual, menyeksa, mengusir dan membakar pasar serta ladang hingga menyebabkan penduduk kebuluran sebelum bertindak melarikan diri.

“Perbuatan ini menyamai jenayah kemanusiaan mengikut undang-undang antarabangsa kerana mereka terbabit secara langsung dalam serangan,” kata laporan itu lagi.

Tentera Myanmar sudah berulang kali menafikan menjadikan etnik minoriti itu sebagai sasaran sebaliknya mendakwa mempertahankan diri daripada militan Islam yang menyerang pos kawalan polis pada Ogos tahun lalu.

Lebih 700,000 penduduk Rohingya melarikan diri ke Bangladesh selepas operasi besar-besaran pihak tentera yang disifatkan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) sebagai penghapusan etnik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 2:38 AM