PENDATANG Sri Lanka menunggu diambil gambar oleh polis selepas dibenarkan mendarat di Lhoknga.
PENDATANG Sri Lanka menunggu diambil gambar oleh polis selepas dibenarkan mendarat di Lhoknga.
AFP

Lhoknga (Indonesia): Seramai 44 pendatang Tamil Sri Lanka yang terkandas di dalam bot mereka di perairan Indonesia sejak lebih seminggu lalu semalam dibenarkan mendarat dan membina khemah sementara sehingga bot membawa mereka diperbaiki.

Kumpulan pendatang itu yang turut termasuk wanita dan kanak-kanak terkandas di atas bot mereka di perairan wilayah Aceh sejak seminggu lalu dengan pihak berkuasa di sana enggan membenarkan mereka mendarat.

Bagaimanapun, semalam pihak berkuasa akhirnya membenarkan kumpulan itu - yang terkandas dalam perjalanan ke Australia - mendarat sementara waktu manakala polis mengambil gambar mereka untuk mengenal pasti identiti masing-masing.

Pihak berkuasa sebelum ini berkata, bot itu akan ditunda ke perairan antarabangsa untuk meneruskan perjalanan sebaik bot diperbaiki dan keadaan cuaca lebih elok.

Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla mengarahkan pihak berkuasa Aceh membenarkan pendatang terbabit turun dari bot mereka yang terdampar di pantai di pekan Lhoknga.

Pengarah antarabangsa Pertubuhan Bukan Kerajaan Aceh, Yayasan Geutanyoe, Lilianne Fan berkata: “Kami gembira dengan perkembangan terbaru ini. Pada kami sekarang apa paling penting adalah mereka diberi akses kepada UNHCR secepat mungkin.”

Khamis lalu, polis melepaskan tembakan amaran untuk menyuraikan kumpulan orang yang mengerumuni bot berkenaan yang mencetuskan kritikan pelbagai pihak termasuk Amnesty International yang mendesak agensi pelarian UNHCR diberi akses kepada kumpulan berkenaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2016 @ 5:15 AM