Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian.
Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian.
Yusmizal Dolah Aling dan Mahaizura Abd Malik


SEMUA pelawat tidak dibenarkan memasuki depoh tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mengelak jangkitan Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun tahanan di depoh itu negatif Covid-19, namun petugas dan tahanan masih tertakluk di bawah prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Untuk mereka yang ditahan di depoh itu bukan positif Covid-19, tetapi untuk tujuan keselamatan, mereka masih lagi perlu menjaga diri dengan SOP termasuk penggunaan pelitup muka, sarung tangan dan sanitizer.

"Pelawat juga dihalang daripada memasuki depoh tahanan walaupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang hendak jumpa dengan tahanan PATI.

"(Larangan) ini termasuk juga kepada Palang Merah, Persatuan Bulan Sabit Merah atau Amnesty International apapun tidak dibenarkan untuk memastikan keselamatan petugas dalam depoh itu," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai SOP untuk tahanan di depoh kerana dakwaan ada rakyat Myanmar positif Covid-19 selepas menjalani kuarantin di Malaysia.

Berhubung isu itu katanya, rakyat Myanmar berkenaan hanya diuji positif selepas memasuki negara mereka.

"Tentang Myanmar itu mereka didapati positif apabila pulang ke negara itu, mereka uji di sana dia positif itu saja dan dia masuk sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 7:01 PM