GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam, membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman dua badan bukan kerajaan (NGO) bagi mencabar keputusan kerajaan Malaysia menghantar pulang 1,200 pelarian warganegara Myanmar ke negara asal.

Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Ahmad Hanir Hambaly berkata, pihaknya memaklumkan kepada mahkamah bahawa bantahan itu dibuat kerana Seksyen 59A Akta Imigresen 1959 tidak membenarkan semakan kehakiman kecuali atas alasan kegagalan mematuhi sebarang prosedur yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

"Pemohon juga bukanlah pihak yang terkesan dengan keputusan responden (kerajaan Malaysia) untuk menghantar warga Myanmar itu pulang ke negara asal mereka," katanya tadi.

Mahkamah hari ini menetapkan pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman menerusi prosiding dalam talian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mariana Yahya yang turut disertai SFC S. Narkunavathy, SFC Mohd Sabri Othman, serta peguam yang mewakili pemohon iaitu Datuk Ambiga Sreenevasan dan Datuk Dr Gurdial Singh.

Ahmad Hanir berkata, mahkamah juga memaklumkan bahawa perintah penggantungan sementara untuk menghantar pulang kesemua pelarian itu ke negara asal disambung sehingga keputusan bantahan diputuskan pada 9 Mac ini.

Semalam, Hakim Mariana membenarkan permohonan dua NGO selaku pemohon untuk mendapatkan perintah penggantungan sementara bagi menghalang kerajaan Malaysia menghantar pulang warga Myanmar itu ke negara asal.

Selain menamakan kerajaan Malaysia selaku responden ketiga, kedua-dua pemohon turut menamakan Ketua Pengarah Imigresen dan Menteri Dalam Negeri sebagai responden pertama dan kedua.

Pemohon mendakwa jika kesemua warga Myanmar itu dihantar pulang ke negara asal, mereka akan mengalami ancaman dan bahaya terhadap nyawa mereka berikutan trend kerajaan atau tentera Myanmar yang didakwa mendiskriminasi dan mengancam komuniti Muslim di negara berkenaan.

Dalam kenyataan media semalam, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata seramai 1,086 pendatang tanpa izin warga Myanmar yang ditahan di depot Imigresen di seluruh negara sejak tahun lalu dihantar pulang melalui Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak kelmarin.

Program penghantaran pulang itu dilaksanakan pihaknya dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia khususnya TLDM, Pasukan Petugas Kebangsaan dan pihak Kedutaan Myanmar namun tidak membabitkan etnik Rohingya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 4:12 PM