ANTARA individu yang terbabit dalam protes berkenaan. FOTO AFP
ANTARA individu yang terbabit dalam protes berkenaan. FOTO AFP
AFP

Yangon: Kira-kira 1,000 orang menyertai demonstrasi bagi membantah rampasan kuasa oleh tentera di Myanmar.

Menurut wartawan AFP yang berada di lokasi, ia adalah untuk tunjuk perasaan disertai paling ramai orang sejak rampasan kuasa berkenaan.

Peserta demonstrasi melaungkan hapuskan pemerintahan tentera sambil mengibarkan bendera berwarna merah.

AFP sebelum ini melaporkan tentera merampas kuasa selepas menahan Presiden Maynmar Win Myint dan Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi pada pagi Isnin.

Penahanan Suu Kyi dibuat seminggu selepas pemimpin kanan tentera, Jeneral Min Aung Hlaing, mengumumkan tidak menolak kemungkinan rampasan kuasa bagi menangani krisis politik itu.

Ia selepas tentera Myanmar menuduh berlaku penipuan dalam pilihan raya umum November lalu, yang menyaksikan parti pemerintah (NLD) pimpinan Suu Kyi menang besar.

Pemilihan pada November lalu adalah pilihan raya demokratik yang kedua di Myanmar sejak negara itu keluar daripada regim pemerintahan diktator selama 49 tahun.

Myanmar baru sedekad 'bebas' daripada pemerintahan tentera selama 50 tahun.

Bagaimanapun, sistem demokrasi dikawal ketat jeneral tentera.

Selepas merampas kuasa, tentera mengisytiharkan perintah darurat di negara itu untuk tempoh setahun dan mengumumkan rombakan Kabinet.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2021 @ 1:51 PM