PENUNJUK perasaan berkumpul di depan Kedutaan Rusia di Yangon. FOTO EPA
PENUNJUK perasaan berkumpul di depan Kedutaan Rusia di Yangon. FOTO EPA
AFP

Yangon: Tentera Myanmar mengarahkan pembebasan lebih 23,000 banduan pada Jumaat, selepas menahan ramai individu yang membantah rampasan kuasa di negara itu.

Pengampunan besar-besaran adalah perkara biasa di Myanmar yang mempunyai masalah penjara yang sesak.

Lazimnya, ia dilakukan pada tarikh tertentu dan Jumaat (hari ini), adalah hari cuti umum di negara itu.

Selain itu, tentera mengumumkan akan membebaskan 55 banduan warga asing, pada satu tarikh yang ditetapkan kemudian.

"Majlis Pentadbiran Negara memutuskan untuk membebaskan 23,314 banduan di penjara, lokap dan kem," kata jurucakap kementerian.

Pada 1 Februari lalu, Tentera Myanmar merampas kuasa selepas menahan Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi dan Presiden Maynmar Win Myint.

Ia selepas tentera Myanmar menuduh berlaku penipuan dalam pilihan raya umum November lalu, yang menyaksikan parti pemerintah (NLD) pimpinan Suu Kyi menang besar.

Susulan itu, demonstrasi besar-besaran diadakan di Myanmar sebagai membantah rampasan kuasa berkenaan.

Berdasarkan kumpulan pemerhati tempatan mengenai tahanan politik, lebih 260 orang sudah ditahan kerana menyertai demonstrasi membantah rampasan kuasa.

Antara yang ditahan adalah penasihat ekonomi kepada Suu Kyi, Sean Turnell yang juga warga Australia.

Selain itu, tentera turut menahan pegawai pilihan raya.

Kira-kira 20 orang daripada mereka sudah dibebaskan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2021 @ 3:12 PM