POLIS menutup jalan masuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon, semalam, susulan rampasan kuasa oleh tentera, FOTO EPA
POLIS menutup jalan masuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon, semalam, susulan rampasan kuasa oleh tentera, FOTO EPA
Agensi

Yangon: Tentera Myanmar mengumumkan rombakan Kabinet negara itu beberapa jam selepas melakukan rampasan kuasa sebelum mengisytiharkan perintah darurat di negara itu.

The Straits Times melaporkan 24 timbalan menteri dipecat daripada jawatan masing-masing, dan mereka digantikan dengan 11 lantikan baharu.

Langkah itu selepas Pejabat Presiden mengumumkan perintah darurat untuk setahun dan kuasa diletakkan di bawah panglima tentera negara itu, pada Isnin.

Tentera Myanmar merampas kuasa selepas menahan Presiden Win Myint dan Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi, pada awal pagi semalam.

Penahanan Suu Kyi dibuat seminggu selepas pemimpin kanan tentera, Jeneral Min Aung Hlaing, mengumumkan tidak menolak kemungkinan rampasan kuasa bagi menangani krisis politik itu.

Ia selepas tentera Myanmar menuduh berlaku penipuan dalam pilihan raya umum November lalu, yang menyaksikan parti pemerintah (NLD) pimpinan Suu Kyi menang besar.

Pemilihan pada November lalu adalah pilihan raya demokratik yang kedua di Myanmar sejak negara itu keluar daripada regim pemerintahan diktator selama 49 tahun.

Myanmar baru sedekad 'bebas' daripada pemerintahan tentera selama 50 tahun.

Bagaimanapun, sistem demokrasi dikawal ketat jeneral tentera.

Dalam pada itu, stesen televisyen dan internet juga dilaporkan kembali beroperasi selepas beberapa jam mengalami 'gangguan' susulan penahanan Suu Kyi.

Selain itu, bank juga kembali beroperasi seperti biasa hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 10:25 AM