TENTERA mengambil alih Dewan Bandaraya Yangon. FOTO EPA
TENTERA mengambil alih Dewan Bandaraya Yangon. FOTO EPA
Agensi

Yangon: Tentera Myanmar mengesahkan rampasan kuasa daripada kerajaan sah negara itu.

BBC melaporkan kuasa pentadbiran kini diletakkan di bawah tentera.

Selain itu, tentera mengisytiharkan perintah darurat di negara itu untuk tempoh sekurang-kurangnya setahun.

AFP sebelum ini melaporkan Presiden Maynmar Win Myint dan Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi sudah ditahan, pagi tadi.

Susulan itu, berlaku gangguan internet di negara berkenaan sejak awal pagi tadi.

Penahanan Suu Kyi dibuat seminggu selepas pemimpin kanan tentera, Jeneral Min Aung Hlaing, mengumumkan tidak menolak kemungkinan rampasan kuasa bagi menangani krisis politik itu.

Ia selepas tentera Myanmar menuduh berlaku penipuan dalam pilihan raya umum November lalu, yang menyaksikan parti pemerintah (NLD) pimpinan Suu Kyi menang besar.

Pemilihan pada November lalu adalah pilihan raya demokratik yang kedua di Myanmar sejak negara itu keluar daripada regim pemerintahan diktator selama 49 tahun.

Myanmar baru sedekad 'bebas' daripada pemerintahan tentera selama 50 tahun.

Bagaimanapun, sistem demokrasi dikawal ketat jeneral tentera.

Dalam pada itu, AFP melaporkan bahawa tentera kini mengawal ketat selepas mengambil alih Dewan Bandaraya Yangon.

Lima trak tentera kelihatan di depan bangunan berkenaan dan anggota tentera melarang kakitangan untuk memasuki premis berkenaan.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 10:44 AM