PENUNJUK perasaan berlindung di sebalik perisai buatan sendiri ketika demonstrasi di Hlaing Tharyar, pada Ahad. FOTO AFP
PENUNJUK perasaan berlindung di sebalik perisai buatan sendiri ketika demonstrasi di Hlaing Tharyar, pada Ahad. FOTO AFP
AFP

Yangon: Tentera Myanmar mengisytiharkan undang-undang tentera di dua kawasan perbandaran di sini, pada malam Ahad.

Ia membabitkan Hlaing Tharyar dan Shwepyitha yang padat dengan penduduk.

Pengumuman itu selepas sekurang-kurangnya 18 penunjuk perasaan terbunuh dalam satu hari pada Ahad, menjadikannya antara 'hari paling berdarah' sejak rampasan kuasa di negara itu pada 1 Februari lalu.

Angka korban pada Ahad menjadikan jumlah individu maut akibat demonstrasi membantah rampasan kuasa di negara itu kepada kira-kira 100 orang.

Bagaimanapun, kumpulan hak asasi dan aktivis menyatakan jumlah sebenar mungkin lebih tinggi.

Pada 1 Februari lalu, tentera merampas kuasa selepas menahan Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi dan Presiden Myanmar Win Myint.

Ia selepas tentera Myanmar menuduh berlaku penipuan dalam pilihan raya umum November lalu, yang menyaksikan parti pemerintah (NLD) pimpinan Suu Kyi menang besar.

Susulan itu, demonstrasi besar-besaran diadakan di Myanmar sebagai membantah rampasan kuasa berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 9:34 AM