PENUNJUK perasaan pro Palestin membaling cecair merah ke atas kenderaan Antony Blinken yang keluar dari kediamannya di Virginia. FOTO X.
PENUNJUK perasaan pro Palestin membaling cecair merah ke atas kenderaan Antony Blinken yang keluar dari kediamannya di Virginia. FOTO X.
Agensi

Washington: Kenderaan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken disimbah cecair merah dalam satu rusuhan di luar kediamannya di Virginia pada Jumaat.

Penunjuk perasaan yang terdiri daripada aktivis pro Palestin menyimbah cecair itu sebagai simbolik darah pembunuhan beramai-ramai penduduk Palestin yang dibedil Israel sejak 7 Oktober lalu.

Mereka dilapor melaungkan slogan termasuk 'anda memalukan' dan 'penjenayah perang' serang kutukan.

Mereka juga mendesak AS untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Insiden itu simbolik kemarahan terbaharu terhadap pentadbiran Joe Biden yang menyokong tindakan Israel, dengan angka kematian di Gaza semakin bertambah.

Insiden itu yang kedua dihadapi Setiausaha Negara AS dalam siri protes di hadapan kediamannya.

Pada Disember lalu, Pergerakan Belia Palestin membawa 15 orang ke hartanah itu untuk menuntut AS agar menghentikan bantuan ke atas Israel.

Sejak perang Israel-Hamas meletus, Blinken melawat Israel dan Timur Tengah beberapa kali termasuk mengadakan perbincangan dengan negara perantara.

Selain Blinken, Presiden Joe Biden juga berdepan pemberontakan daripada kakitangannya sendiri, selepas seorang pegawai tinggi pendidikan meletak jawatan kerana Rumah Putih 'menutup mata' terhadap kekejaman di Gaza.

Belasan kakitangan pula menulis surat tanpa nama yang diterima pada Rabu lalu, membantah cara kendalian Biden terhadap perang Israel-Hamas yang sedang berlangsung.

Surat itu yang dikongsi di platform Medium, ditandatangani 17 kakitangan Biden for President, antara lain menyebut, "Sebagai kakitangan anda, kami percaya adalah satu kewajipan moral dan pilihan raya buat anda untuk menyeru secara terbuka agar keganasan dihentikan.

"Tidak cukup sekadar menjadi alternatif kepada Donald Trump. Kempen ini perlu mengalih perasaan pengundi, perasaan sama yang membebani kami setiap hari semasa kami berjuang untuk pemilihan semula anda.

"Satu-satunya cara untuk melakukan itu adalah dengan menyeru gencatan senjata."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 11:40 AM