Presiden AS Joe Biden. FOTO AFP
Presiden AS Joe Biden. FOTO AFP
Agensi

Washington: Lebih 400 pegawai kerajaan di Amerika Syarikat (AS) menghantar surat kepada Presiden Joe Biden bagi menentang sokongannya terhadap Israel dalam konflik perang Palestin.

Surat itu ditandatangani pegawai lantikan politik dan kakitangan dari Jabatan Negara, Rumah Putih, Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Kehakiman.

Bantahan itu sebahagian daripada siri saluran perbezaan pendapat dalaman agensi kerajaan tentang pendekatan dasar pentadbiran Biden menyokong Israel di tengah-tengah kematian orang awam semakin meningkat akibat kempen pengeboman berterusan Israel ke atas Gaza selepas serangan kumpulan pejuang Hamas, 7 Oktober lalu.

Surat itu meminta gencatan senjata segera dan menggesa Biden untuk menghentikan pertumpahan darah dari kempen ketenteraan balas Israel di Gaza.

"Kami menyeru Presiden Biden untuk mendesak gencatan senjata dan menyeru konflik semasa dikurangkan dengan memastikan pembebasan segera tebusan Israel dan rakyat Palestin, pemulihan bekalan air, bahan api, elektrik dan perkhidmatan asas lain dan laluan bantuan kemanusiaan mencukupi ke Semenanjung Gaza.

"Majoriti rakyat Amerika menyokong gencatan senjata. Rakyat Amerika juga tidak mahu tentera AS diheret sama ke dalam satu lagi peperangan 'mahal' dan sia-sia di Timur Tengah," New York Times memetik surat itu.

Tinjauan pendapat Date for Progress yang dikeluarkan 18 hingga 19 Oktober lalu menunjukkan, 66 peratus rakyat AS, termasuk 80 peratus Demokrat menyuarakan AS harus menekan Israel untuk mengenakan gencatan senjata ke atas Gaza.

Surat bantahan itu berlaku selepas sekurang-kurangnya tiga saluran perbezaan pendapat dalaman difailkan puluhan kakitangan Jabatan Negara sebagai tambahan kepada surat terbuka oleh beberapa pekerja Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID) yang mengkritik dasar pentadbiran Biden terhadap Israel.

Ditanya mengenai surat yang ditandatangani 100 kakitangan Jabatan Negara dan USAID pada Isnin itu, jurucakap Jabatan Negara, Matthew Miller berkata, salah satu kekuatan agensi itu ialah kepelbagaian pandangan.

Katanya, jabatan itu mengalu-alukan orang ramai untuk menyatakan pandangan masing-masing.

"Setiausaha Negara, Antony Blinken bertemu dengan beberapa orang dari biro berbeza dalam Jabatan Negara untuk mendengar pendapat mereka tentang dasar AS mengenai konflik itu.

"Beliau menggalakkan orang ramai untuk memberikan maklum balas dan bersuara jika mereka tidak bersetuju.

"Ini tidak bermakna kami akan mengubah dasar kami berdasarkan perselisihan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 10:23 AM