AFP

Tel Aviv: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken meninggalkan Israel, semalam dengan tangan kosong selepas Benjamin Netanyahu enggan akur cadangan 'gencatan senjata sementara'.

Perdana Menteri Israel itu memberi amaran, tidak akan ada sebarang gencatan senjata sehingga Hamas melepaskan semua tebusan.

Beliau sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Blinken yang hadir untuk berbincang mengenai 'jeda kemanusiaan' bagi memastikan pembebasan tebusan dan membolehkan bantuan diagihkan kepada penduduk yang terkepung di Semenanjung Gaza.

Kunjungan kedua Blinken ke Asia Barat di tengah-tengah peningkatan kebimbangan antarabangsa berhubung konflik Israel-Hamas yang mungkin meluas.

Beliau dijadual bertemu Raja Abdullah di Amman, Jordan hari ini dan menyertai mesyuarat menteri luar lima negara Arab yang turut dihadiri wakil Pihak Berkuasa Palestin (PA) diketuai Presiden Mahmud Abbas.

Jordan dalam kenyataan hari ini berkata, Menteri Luar Jordan, Mesir, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Qatar serta wakil PA bertemu Blinken di Amman untuk membincangkan isu perang Israel.

Kenyataan Kementerian Luar pula berkata, rundingan Amman akan memberi tumpuan kepada 'kesan daripada peningkatan bahaya yang mengancam keselamatan di seluruh rantau'.

Jordan berkongsi sempadan dengan Israel dan Tebing Barat, wilayah Palestin yang diduduki Israel sejak 1967, dan menyaksikan peningkatan keganasan sejak permulaan perang di Gaza.

Pada 1994, Jordan menjadi negara Arab kedua yang berdamai dengan Israel selepas Mesir pada 1979.

Dalam panggilan telefon dengan Presiden AS, Joe Biden, baru-baru ini, Raja Abdullah menekankan perlunya gencatan senjata di Gaza dan gencatan senjata kemanusiaan disegerakan supaya bantuan dapat disalur.

Semalam, kira-kira 5,000 penduduk Jordan melakukan demonstrasi di Amman, mendesak supaya gencatan senjata dilaksana di Gaza, selain mahu Raja Abdullah menggunakan perjanjian damai Jordan dengan Israel untuk mempengaruhi gesaan itu.

Pada Rabu, Jordan memanggil pulang dutanya di Israel, tanda protes terhadap serangan berterusan di Gaza, dengan tindakan itu dikesali Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 12:17 PM