ASKAR Israel meronda di tepi sisa runtuhan bangunan di  kawasan Kibbutz Beeri selepas serangan mengejut Hamas. FOTO Reuters.
ASKAR Israel meronda di tepi sisa runtuhan bangunan di kawasan Kibbutz Beeri selepas serangan mengejut Hamas. FOTO Reuters.
Reuters

Washington: Amerika Syarikat (AS), Kanada, Perancis, Jerman, Itali dan Britain, semalam menggesa Israel mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan melindungi orang awam, susulan konfliknya dengan Hamas.

Seruan itu dibuat atas kebimbangan yang perang Israel-Hamas boleh mencetus konflik Timur Tengah yang lebih besar, terutama tekad Israel untuk menggempur Gaza dan pertempuran sengit di sempadan Lubnan.

Pemimpin itu juga menyatakan pendirian menyokong Israel dan haknya dalam mempertahankan negara daripada serangan militan.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan, pemimpin berkenaan mengalu-alukan pembebasan dua tebusan oleh Hamas, serta mendesak pembebasan baki tebusan.

Sidang maya dipanggil Quint disertai Presiden AS, Joe Biden, Presiden Perancis Emmanuel Macron, Canselor Jerman Olaf Scholz, Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni dan Perdana Menteri Britain Rishi Sunak.

Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau menyertainya selepas bercakap dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

Pada mesyuarat itu, pemimpin terbabit menjalin kerjasama dalam menyokong rakyat satu sama lain di rantau bergolak, terutama bagi yang mahu meninggalkan Gaza.

Selain itu mereka turut mengalukan ketibaan konvoi bantuan kecemasan di Gaza dan berjanji untuk terus bekerjasama dengan rakan serantau dalam memastikan akses selamat dan mampan buat 2.2 juta penduduk terhadap makanan, air, rawatan perubatan selain bantuan kemanusiaan lain.

Mereka bersetuju untuk meneruskan penyelarasan diplomatik yang erat termasuk dengan rakan kongsi utama di rantau untuk "menghalang konflik daripada merebak, memelihara kestabilan di Timur Tengah, dan berusaha ke arah penyelesaian politik, juga keamanan yang berkekalan."

Biden dan Netanyahu sebelum itu membincangkan ketibaan konvoi bantuan cemas ke Gaza dan menjamin bahawa akan ada penyaluran berterusan bantuan kritikal, kata Rumah Putih.

Kedua-dua pemimpin itu juga membincangkan usaha untuk membebaskan lebih 200 tebusan yang ditangkap Hamas, termasuk beberapa tentera AS.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 12:59 PM