LARRY Pickens (kiri) didakwa membunuh Dr Benjamin Mauck (kanan). FOTO Agensi
LARRY Pickens (kiri) didakwa membunuh Dr Benjamin Mauck (kanan). FOTO Agensi
Agensi

Washington: Seorang pesakit didakwa menembak mati seorang pakar bedah di bilik pemeriksaan klinik di Collierville, Tennessee, Amerika Syarikat (AS), dalam serangan yang difahamkan memang sudah disasarkan terhadap mangsa.

Ketua Polis Collierville, Dale Lane berkata, suspek Larry Pickens, 29, dilaporkan menunggu pakar bedah Dr Benjamin Mauck selama beberapa jam di klinik ortopedik Klinik Campbell.

MetroUK melaporkan, Pickens melepaskan tembakan ke arah Mauck dan kemudian cuba berlari keluar dari premis itu.

Beberapa minit kemudian, polis tiba di tempat kejadian kira-kira jam 2 petang Selasa lalu, dan menahan Pickens tanpa sebarang insiden kekerasan di pintu masuk klinik.

Motif tidak jelas, tetapi polis berkata, Mauck memang sudah menjadi sasaran Pickens.

"Teruknya. Ia mengerikan. Ia dahsyat," kata Lane seperti dilaporkan WMBF News.

Polis pada pagi Rabu mengenal pasti Pickens berasal dari Memphis, dan berkata, suspek didakwa kerana membunuh Mauck dengan hakim menetapkan jaminan AS$1.2 juta (kira-kira RM5.43 juta).

Pickens tidak mempunyai rekod jenayah dengan Jabatan Polis Collierville, namun pihak berkuasa itu sedang menyemak sebarang sejarah jenayah lampau membabitkan suspek dengan agensi penguatkuasaan undang-undang lain.

Seorang saksi mendakwa lelaki bersenjata itu pernah mengancam seorang kakitangan di klinik berkenaan sejak seminggu lalu, kata Ketua Minoriti Senat Tennessee Raumesh Akbari pada Selasa.

Perbicaraan Pickens dijadualkan pada Khamis di Mahkamah Bandar Collierville.

Mauck lulusan dari Kolej Perubatan Tennessee adalah seorang pakar dalam pembedahan siku, tangan dan pergelangan tangan, menurut biografi Ortopedik Klinik Campbell.

Mauck meninggalkan balunya Rhiannon dan dua anak mereka.

Tragedi tembakan maut di Klinik Campbell yang terletak kira-kira 48 kilometer di timur pusat bandar Memphis itu masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 12:52 PM