JOEL CAMPBELL
JOEL CAMPBELL
Agensi

LONDON: Joel Campbell berkata dia tidak pasti mengenai masa depannya di Arsenal sebaik kembali ke kelab untuk latihan pra musim.

Pemain Costa Rica itu tidak menyertai kunjungan pra musim Arsenal ke Singapura dan sebaliknya akan kembali ke London hujung minggu ini untuk menyertai kelab itu.

Pemain berusia 26 tahun itu jelas tidak pasti mengenai masa depannya. Campbell  mengakui dia tidak tahu  apa perancangan kelab untuknya selepas ini.

“Saya akan kembali hujung minggu ini dan mereka akan tentukan apa yang akan berlaku selepas itu,” kata Campbell kepada La Nacion.

“Saya sedar banyak yang ingin saya berikan dalam bola sepak jadi di mana sekali pun saya akan bermain dengan baik dan menikmati sukan ini.”

Campbell bergelut menempatkan diri di dalam skuad itu sejak berpindah ke Gunners daripada Saprissa di negara asalnya pada 2011.

Dia dipinjamkan sebanyak enam kali, kali terakhir bermain mewakili Arsenal pada 2015-16.

Musim lalu jelas memberi cabaran buat Campbell yang tampil hanya sembilan kali bersama Real Betis susulan kecederaan buku lali dan lutut.

“Ia musim yang mencabar disebabkan kecederaan,” kata Campbell.

“Pada akhirnya ia mematangkan saya kerana saya sudah melalui baik dan buruk dalam bola sepak.”  

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Julai 2018 @ 12:33 PM