PIERRE-EMERICK AUBAMEYANG
PIERRE-EMERICK AUBAMEYANG
Agensi

LONDON: Penting buat penyerang Pierre-Emerick Aubameyang terus meledak dalam usaha Arsenal menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris musim ini di kedudukan empat terbaik, menurut bekas pemainnya, Sol Campbell.

Pemain berusia 29 tahun itu menjaringkan gol sulungnya dalam kempen liga musim ini ketika Gunners menewaskan Cardiff 3-2 di gelanggang lawan, minggu lalu.

Begitupun, kemenangan itu hanya meletakkan Arsenal di tangga kesembilan liga selepas mengumpul enam mata daripada empat perlawanan, ketinggalan enam mata di belakang pendahulu Liverpool.

Justeru, Campbell memberi peringatan betapa penyerang kebangsaan Gabon itu perlu sentiasa berada di prestasi terbaik jika mahu kelab utara London itu mencabar kedudukan empat teratas liga musim ini.

“Aubameyang, saya mengenalinya sejak musim lalu,” kata bekas pertahanan England itu. “Tapi saya fikir bermula dari awal musim ini, saya fikir bagus dia meneruskannya dan meningkatkan semula kebolehannya untuk menjaringkan gol.

“Saya fikir gol-gol ini akan menjadi elemen penting buat Arsenal untuk menduduki tangga melebihi enam teratas dan berharap mendapatkan kedudukan empat terbaik.

“Dia perlu meneruskannya, begitu juga Lacazette, tapi saya fikir dia betul-betul memerlukan alasan yang baik.”

Skuad kendalian Unai Emery akan kembali ke kancah elit bola sepak Inggeris itu selepas rehat antarabangsa dan dijadual bertemu Newcastle United di St James’ Park pada 15 September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 12:31 PM