WOODS
WOODS

Wellington: Lydia Ko mampu menjadi seperti ‘Tiger Woods’ arena golf wanita jika dia menanam cita-cita lebih tinggi, kata rakan senegara yang juga bekas pemenang kejohanan utama, Michael Campbell.

Kejayaan Lydia di Kejohanan Evian, Ahad lalu menjadikannya sebagai juara wanita termuda dalam sejarah yang pernah menjulang kejohanan utama dan pemain New Zealand ketika selepas Bob Charles dan Campbell berbuat demikian.

Woods menjulang 14 kejohanan utama sepanjang tempoh 12 tahun sejak 1997 dan Campbell berkata, Lydia wajar mensasarkan untuk mendominasi arena golf wanita dunia.

“Dia perlu memecahkan lebih banyak rekod, meletakkan sasaran lebih tinggi bagi perkembangan kariernya,” kata Campbell yang juga juara Terbuka AS 2005 kepada stesen radio New Zealand, Radio Sport.

“Saya rasa perkara paling penting baginya ketika ini ialah meletakkan sasaran lebih baik. Dia mampu menjadi pemain wanita pertama yang menang semua lima kejohanan utama... menjadi pemain pertama yang memenangi grand slam.

“Tiga belas kemenangan di jelajah LPGA dalam tempoh dua tahun... ia sesuatu yang menakjubkan. Ini adalah catatan seperti yang pernah dilakukan Tiger Woods dulu yang mendominasi golf lelaki sepanjang 10 tahun dan saya yakin Lydia boleh melakukan perkara sama.”

Andai menang satu lagi kejohanan utama, Lydia bakal menjadi pemain golf paling berjaya di negaranya dan dia juga memerlukan 14 lagi kejuaraan untuk menyamai catatan yang pernah dilakukan pemain golf wanita AS, Patty Berg. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2015 @ 5:42 AM