ARSENE WENGER
ARSENE WENGER
Agensi

ARSENAL menjemput Thierry Henry, Tony Adams dan ramai lagi dalam kelompok 100 pemain terhebat kelab itu untuk menghadiri majlis perpisahan Arsene Wenger dari Stadium Emirates.

Gunners menyenaraikan semua bekas pemain mereka yang beraksi dalam lebih 100 perlawanan bersama kelab itu menjelang aksi menentang Burnley pada Ahad iaitu perlawanan terakhir Wenger di laman sendiri.

Ia turut membabitkan pemain legenda seperti Bob Wilson, Frank McLintock dan  Sol Campbell.

Arsenal akan menggunakan perlawanan itu sebagai elemen utama sambutan bagi mengenang 22 tahun jurulatih Perancis itu mengendalikan kelab berkenaan.

Siapa pun yang akan menggantikan Wenger tidak mungkin akan mempunyai kuasa atas perpindahan seperti yang dinikmatinya apabila Konstantinos Mavropanos dibeli tanpa mendapatkan persetujuan pengurus berusia 68 tahun itu.

Pertahanan Greece itu tiba pada Januari dan membuat penampilan pertama  ketika kelab itu tewas kepada Manchester United.

Namun difahamkan Wenger tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam pembelian pemain berusia 20 tahun itu daripada PAS Giannia.

Apa yang berlaku di sebalik pembelian Mavropanos memberi petunjuk jelas mengenai hala tuju Arsenal dalam strategi pembelian pemain.

Pengaruh ketua pengambilan pemain Sven Mislintat semakin ketara sejak ketibaannya pada November. Mavropanos dibawa masuk hasil sokongannya. 

Wenger bekerja keras untuk mengawal sepenuhnya pembelian pemain kelab itu namun Mislintat  dijangka mempunyai kuasa besar terhadap perpindahan sebaik pengurus baru dilantik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 2:53 PM